Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Pelajar | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 10 October 2022

Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Pelajar

Oleh Nik Fazlin Hiryati Nik Jaafar

 

 

AGENDA pemerkasaaan keusahawanan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi sudah lama digerakkan melalui pelbagai kementerian, agensi dan badan berkaitan.

 

Di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT) pula, setiap universiti awam, swasta mahupun politeknik dan kolej komuniti, masing- masing menggerakkan agenda ini menerusi platform jabatan atau unit khas yang diamanahkan.

 

Berdasarkan pengalaman dan pengamatan, di UiTM, agenda keusahawanan ini telah dan sedang melalui beberapa fasa penting yang bergerak seiring dengan keperluan dan perubahan persekitaran.

 

Di peringkat awal, agenda ini mengetengahkan fasa pembudayaan di mana para pelajar didedahkan dengan asas-asas keusahawanan di dalam kelas secara formal, iaitu melalui kod kursus yang tertentu.

 

Selain itu, pendekatan di luar bilik kuliah juga diperkenalkan melalui program- program pembudayaan seperti aktiviti mengenal diri, menilai kompetensi dan bakat serta inisiatif dalam peningkatan kemahiran keusahawanan mereka.

 

Inisiatif ini digerakkan bagi menyampaikan perspektif yang kukuh kepada para pelajar mengenai kepentingan dan kelebihan bidang ini. Ia juga bertujuan untuk mencambahkan minat dan dorongan di dalam diri mereka untuk mempunyai semangat keusahawanan yang jitu.

 

 

masmed

 

 

Di peringkat ini, tumpuan juga diberikan dalam membentuk sahsiah diri, sikap dan kecekapan keusahawanan yang mantap dan berdaya saing.

 

Seterusnya, di suatu peringkat, aura keusahawanan sudah menjadi nilai penting dalam kalangan pelajar.

 

Inisiatif di peringkat pembudayaan masih dikekalkan dan disesuaikan dengan keperluan semasa. Kod kursus keusahawanan masih kekal ditawarkan kepada para pelajar dan silibus juga ditambah baik.

 

Di peringkat ini, pelajar sudah mula mempercayai kecekapan, bakat dan kebolehan mereka untuk mengorak langkah dengan lebih jauh di dalam bidang ini.

 

IPT juga mula memperkenalkan pendekatan yang lebih praktikal kepada pelajar di mana mereka diberikan ruang dan peluang untuk mempraktikkan kemahiran dan bakat keusahawanan mereka.

 

Banyak ruang niaga dan premis yang dikhaskan untuk perniagaan pelajar. Karnival keusahawanan juga banyak diadakan bagi memberikan platform kepada mereka untuk melatih kompetensi keusahawaan melalui pengalaman perniagaan yang sebenar, baik secara individu atau berkumpulan.

 

Bagi memberikan impak yang lebih besar, bantuan kewangan turut disediakan untuk memudahkan langkah para pelajar di bidang ini. Mereka juga dibimbing dan dipantau rapat oleh para pensyarah yang juga pakar dan terlatih dengan ilmu dan selok belok keusahawanan.

 

 

masmed

 

 

Sinergi ini menampakkan kesan yang positif dan berkualiti dalam melahirkan generasi usahawan muda yang berketrampilan.

 

Melihat sendiri kelebihan yang diperoleh hasil penglibatan pelajar di dalam bidang keusahawanan, ramai yang memasang hasrat untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

 

Kebanyakan mereka yang bercita-cita sebegini biasanya adalah para pelajar yang sudah sedia menunjukkan minat seawal kehadiran mereka di kampus.

 

Mereka meggunakan ruang dan peluang yang disediakan di menara gading untuk menimba ilmu dan pengalaman dengan sebaiknya.

 

IPT juga mengambil pendekatan yang lebih serius dalam usaha mempromosikan keusahawanan sebagai kerjaya dalam kalangan pelajar.

 

Banyak pinjaman mikro dan geran yang disediakan untuk membantu usaha ini. Inisiatif pemadanan di antara usahawan pelajar dan usahawan berpengalaman juga menjadi strategi yang digunakan. Usahawan berpengalaman ini bertindak selaku mentor atau guru.

 

Mendepani cabaran arus teknologi dan ekonomi yang begitu dinamik, usahawan pelajar juga perlu mengorak langkah mengadaptasikan diri dan perniagaan dengan mengambil kira faktor persekitaran.

 

 

masmed

 

 

Mereka perlu selangkah ke hadapan di dalam arus perubahan landskap keusahawanan dan perlu sentiasa peka terhadap perubahan cita rasa dan gaya hidup masyarakat. Teknologi banyak membantu meningkatkan kecekapan pengendalian urusan perniagaan.

 

Ciri kreatif dan inovatif seolah-olah menjadi satu sisi wajib bagi usahawan pelajar, jika tidak mahu ketinggalan.

 

Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan perlulah in trend dan memenuhi kehendak. Bukan itu sahaja, strategi pemasaran juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dan menjadi antara faktor penentu yang utama.

 

Dengan peningkatan kesedaran dan penggunaan media sosial sebagai contoh, ia seolah-olah ‘memaksa’ usahawan pelajar untuk turut sama memanfaatkan teknologi ini bukan hanya untuk tujuan sosial, bahkan untuk perniagaan.

 

Menyedari perubahan ini, IPT kini banyak memperkenalkan dan mendedahkan usahawan pelajar dengan pelbagai skop dan sisi terkini keusahawanan seperti penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Youtube.

 

Kursus pemantapan kemahiran teknologi dirangka bagi memastikan pelajar memahami dan memaksimumkan manfaat teknologi ini untuk kepentingan perniagaan mereka.

 

 

masmed

 

 

Platform dalam talian juga sangat digemari dan mudah untuk diterima terutamanya bagi usahawan pelajar yang kurang berani mengambil risiko kerana faktor kekangan masa atau kekurangan modal.

 

Gig ekonomi juga tidak kurang mendapat tempat kerana faktor risiko dan kos yang rendah serta lebih fleksibel. Ia boleh dilakukan secara separuh masa dan sesuatu tugasan yang dipersetujui kebiasaanya tidak mengambil masa yang lama.

 

 

masmed

 

 

IPT perlulah sentiasa aktif dalam mengenal pasti tren terkini sektor ekonomi dan persekitaran serta keperluan dan kehendak semasa masyarakat.

 

Ia perlu diterjemahkan di dalam setiap inisaitif yang dirangka untuk pemerkasaan dan pemantapan keusahawanan dalam kalangan pelajar. - DagangNews.com

 

Nik Fazlin Hiryati Nik Jaafar adalah Koordinator Keusahawanan MASMED, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu

 

masmed

 

Portfolio Tags