MPay kembali rugi pada Q2 bernilai RM1.9 juta | DagangNews Skip to main content

MPay kembali rugi pada Q2 bernilai RM1.9 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - ManagePay Systems Berhad (MPay) kembali mencatatkan kerugian bersih mencecah RM1.9 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) daripada keuntungan RM2.1 juta yang dicatatkan bagi suku tahun sebelumnya. 

 

Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, ini terutamanya disebabkan oleh kos langsung dan pentadbiran serta perbelanjaan umum yang tinggi.

 

Bagi perbandingan tahunan pula, MPay melaporkan kerugian bersih RM4.3 juta lebih rendah daripada RM6.2 juta kerana kos langsung dan pentadbiran serta perbelanjaan umum yang lebih tinggi pada tempoh sama tahun lalu selain rosot nilai kira-kira RM3.3 juta.

 

“MPay dan anak syarikatnya (kumpulan) mencatatkan hasil RM3.1 juta pada suku tahun berakhir 30 Jun 2021 berbanding hasil RM3.4 juta pada suku tahun sama pada tahun lalu, mewakili penyusutan RM0.3 juta pada suku tahun semasa. 

 

“Penyusutan hasil ini terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam hasil perkhidmatan bukan pembayaran. Kedudukan tunai dan kecairan kumpulan kekal sihat dengan dana dan baki tunai jangka pendek berjumlah kira-kira RM29.399 juta. 

 

“Jumlah pesanan buku dan kontrak yang diterima setakat 30 Jun 2021 adalah sebanyak RM0.35 juta,” jelas MPay.

 

Kumpulan tidak mengisytiharkan sebarang dividen atau mengagihkannya pada suku tahun semasa ataupun dalam tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini. 

 

Baca : Azizan Osman kini antara pemegang saham utama MPay 

 

Semasa tempoh pandemik COVID-19 ini, kumpulan berkata, banyak ketidaktentuan yang dijangka menjejaskan perniagaannya, namun beberapa langkah telah diambil bagi memastikan kesinambungan perniagaan kumpulan. 


 

“Kumpulan telah mengambil langkah untuk mengharungi cabaran persekitaran dengan menumpukan ke arah memperkukuh perniagaan utama kumpulan iaitu perkhidmatan pembayaran dan bukan pembayaran dengan matlamat perniagaan jangka panjang untuk menjadi pengendali bank digital yang berlesen di Malaysia.

 

Baca :  MPay turut mohon lesen bank digital BNM

 

“Kumpulan kekal positif terhadap pakej penyelesaian hebat fintech dan perdagangan kami yang menyediakan POS, e-perdagangan, pemasaran digital, penyelesaian pembayaran, pembiayaan POS (BNPL), e-invois, e-perdagangan hyper tempatan dan generasi peneraju eksport yang akan menyaksikan peningkatan peniaga dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke dalam ekosistem MPay dan mencatatkan prestasi baik bagi tahun 2021,” tambah MPay. - DagangNews.com