MPay hormati keputusan BNM walaupun tidak terpilih mendapatkan lesen bank digital - Dr Azizan Osman | DagangNews Skip to main content

MPay hormati keputusan BNM walaupun tidak terpilih mendapatkan lesen bank digital - Dr Azizan Osman

Azizan Osman menghadiahkan buku tulisannya kepada Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman pada majlis rumah terbuka di Melaka hari ini.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

MELAKA 5 Mei - Pemegang saham utama ManagePay System Berhad (MPay), Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata pihaknya menghormati keputusan Bank Negara Malaysia yang tidak memilih konsortium MPay sebagai antara lima penerima lesen bank digital yang diumumkan minggu lepas.

 

''Saya hormati keputusan BNM, walaupun sebenarnya MPay mempunyai kapasiti dengan 11 lesen di bawah BNM dan Suruhanjaya Sekuriti. 

 

''Kalaulah kita diberikan lesen ini, kita mungkin boleh wujudkan dan beroperasi dalam tempoh 6 bulan saja...., kalau nak dibandingkan dengan pihak lain yang mungkin ambil masa 2 tahun untuk bina.

 

''Kita sudah ada infrastruktur, tapi tidak apa. Kita hormati dan fokus kita kepada membantu kerajaan untuk mendigitalisasikan sistem bukan saja soal pembayaran parkir tetapi integrasi keseluruhan bagi majlis kerajaan tempatan. Itu projek dan fokus kita. Dan itu telah dan sedang dijalankan,'' katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, Tun Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri di `Mak & Ayah Garden' iaitu kediaman keluarganya di sini hari ini.

 

Tun Ali diiringi isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman dan keluarga manakala Datuk Seri Utama Sulaiman bersama isteri Datin Seri Utama Munira Yusop dan keluarga.

 

 

azizanosman
Azizan Osman (kiri) bergambar bersama Datuk Seri Utama Sulaiman dan Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman pada majlis rumah terbuka di Melaka hari ini.

 

azizanosman

 

azizanosman

 

 

Ditanya apakah beliau tahu mengenai punca MPay tidak terpilih, Dr Azizan berkata, beliau tidak pasti mengapa.

 

''Daripada segi infrastruktur dan teknologi, MPay sudah ada. Kebanyakan konsortium yang diterima itu ada kaitan dengan entiti luar negara. Mungkin pelabur luar saya kurang pasti,'' kata beliau. 

 

Pada Julai tahun lepas, MPay mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya ManagePay Services Sdn Bhd pada 30 Jun 2021 telah mengemukakan permohonan untuk lesen bank digital kepada BNM, disokong oleh tiga rakan strategik dikawal bumiputera — Trustgate Bhd, Crescent Capital Sdn. Bhd dan RichWorks International Sdn Bhd.

 

Firma pelaburan dan perunding strategik Crescent Capital diasaskan dan diketuai oleh Tan Sri Mirzan Mahathir, anak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala RichWorks International diasaskan oleh Dr Azizan. - DagangNews.com