Model SWN bantu rapatkan jurang digital di negara ini - Annuar Musa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Model SWN bantu rapatkan jurang digital di negara ini - Annuar Musa

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Mac - Keputusan kerajaan melaksanakan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dapat membantu merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar di negara ini. 

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat seharusnya menikmati akses kepada perkhidmatan 5G berkualiti tinggi secara adil, saksama dan pada harga berpatutan, terutama untuk membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia pasca pandemik di tahun-tahun akan datang.

 

 

Annuar Musa
Annuar Musa

 

 

Katanya, pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G merupakan tonggak utama ke arah merealisasikan aspirasi ekonomi digital negara, seperti yang terkandung di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

 

"Oleh itu, pemilihan model ini akan membantu merapatkan jurang digital ini sekali gus membolehkan semua rakyat menikmati perkhidmatan 5G berkualiti tinggi dan dibekalkan secara meluas kepada mereka melalui syarikat telekomunikasi," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar hari ini yang diadakan bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

 

Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara SWN, dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Bhd. (DNB).

 

Baca : 5G : Kerajaan kekal model SWN, tawar 70% ekuiti dalam DNB kepada syarikat telco

 

Ia menyaksikan kerajaan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong manakala kerajaan memegang 30% ekuiti.

 

DNB akan dikawal selia oleh KKMM, selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) manakala MoF akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.

 

Dengan mengumpulkan kesemua spektrum yang dikenalpasti untuk 5G bagi penggunaan eksklusif DNB, pemain industri yang melanggan perkhidmatan secara borong akan dapat memberi kualiti perkhidmatan yang tinggi hasil penggunaan spektrum yang optimum. 

 

Satu rangkaian juga akan memastikan penjimatan kos, yang akan dikongsi dengan pemain industri dan seterusnya kepada pengguna perkhidmatan 5G.

 

Menurut Annuar, pengekalan SWN ini secara tidak langsung meneruskan semua perancangan, pembelian 
peralatan dan pelantikan syarikat tempatan dalam melaksanakan kerja pembangunan rangkaian. 

 

Katanya, ia juga akan mengekalkan kontrak dengan pembekal peralatan yang dipilih secara tender terbuka berdasarkan amalan terbaik antarabangsa.

 

"Pendekatan perkongsian awam-swasta Keluarga Malaysia ini juga akan memudahkan DNB mencapai sasarannya untuk meliputi 80% kawasan berpenduduk negara menjelang 2024, di mana 5G akan dibekalkan pada harga 
borong kurang daripada 20 sen setiap Gigabait (GB), lebih rendah daripada kos semasa untuk menghasilkan 4G," jelas beliau. - DagangNews.com