Merdeka 118 kini bangunan tertinggi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Merdeka 118 kini bangunan tertinggi di Malaysia

Menara Merdeka 118 tersergam indah mewarnai pemandangan Kuala Lumpur. - Gambar PNB

 

 


KUALA LUMPUR 8 Jun - PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), melakar pencapaian membanggakan dalam pembinaan projek menara Merdeka 118 apabila berjaya menyiapkan pembinaan lantai terakhir iaitu bumbung kepada tingkat 118.

 

Ini sekali gus menjadikan Merdeka 118 sebagai menara tertinggi di Malaysia. 

 

Apabila siap dibina pada 2022, menara ini akan mencapai ketinggian sekurang-kurangnya 644 meter dan bakal dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara.

 

Presiden da Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, dengan lengkapnya pembinaan di tingkat terakhir itu, ia menandakan peristiwa paling bermakna dalam pembinaan Merdeka 118 sekali gus menyerlahkan lagi seri latar langit Kuala Lumpur.

 

Katanya, kini, Merdeka 118 telah pun 81% siap dibina, dan pemasangan fasad kaca berada di tingkat 108.

 

"Walaupun terdapat penangguhan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, kami berpuas hati kerana pembangunan Merdeka 118 berjaya disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan.

 

"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam projek ini, terutama sekali bagi mereka yang telah bekerja keras ke arah pencapaian bersejarah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Merdeka 118 merangkumi 3 juta kaki persegi ruang luas lantai dan terdiri daripada 1.66 juta kaki persegi luas sewaan bersih ruang pejabat Gred-A serta kira-kira 1 juta kaki persegi ruang niaga. 

 

Beberapa ciri yang mengagumkan telah dibangunkan di menara ini termasuklah dek pemerhatian ‘The View at 118’, yang akan menjadi dek tertinggi di Asia Tenggara, serta satu-satunya Hotel Park Hyatt di Malaysia yang terletak di 17 tingkat teratas menara. 

 

Dihubungkan secara terus dari menara adalah ‘118 Mall’, sebuah pusat beli-belah dengan pelbagai peluang perniagaan menarik yang dikelilingi kehijauan serta taman terbuka 'Merdeka Boulevard at 118' seluas 4 ekar untuk dinikmati orang ramai, di samping 3 menara kediaman eksklusif.

 

Selain itu, Presint Merdeka 118 juga akan menampilkan sebuah muzium tekstil  yang mengetengahkan tesktil dunia Melayu, sebuah pusat jagaan kanak-kanak berumur 7 tahun dan ke bawah serta Masjid Merdeka yang merupakan sebuah masjid baharu dengan kapasiti ruang yang mampu memuatkan seramai 3,000 jemaah.

 

Pembangunan Merdeka 118 terletak di kawasan bersejarah pusat bandar raya Kuala Lumpur dan berdiri teguh di samping 2 warisan negara iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara, yang mencerminkan penyatuan luar biasa antara seni bina bersejarah dan kontemporari di presint ini. 

 

Sebagai pemilik bagi 2 stadium ini, PNB telah melaksanakan penyelenggaraan dan penjagaan yang teliti untuk mengekalkan dan memulihara warisan sejarah negara yang menjadi lambang keharmonian dan kekayaan sejarah, evolusi dan masa hadapan Malaysia. - DagangNews.com