Skip to main content

Mercury Securities positif dengan prospek masa hadapan UMediC

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Mercury Securities mengunjurkan prospek masa hadapan yang positif untuk UMediC Group Berhad (UMC) berdasarkan kepada rekod cemerlang yang dimiliki selain disokong oleh perkembangan industri peranti perubatan di Malaysia.

 

Firma itu menjangkakan, kumpulan itu akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) lima tahun sebanyak 14% bermula 2021 hingga 2026 dan harga sasaran mewakili potensi pulangan sebanyak 50% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Katanya, syarikat itu memiliki rangkaian pemasaran dan pengedaran yang luas selain wakil jualan di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang terdiri daripada entiti bukan di dalam perniagaan perubatan, orang awam, hospital swasta dan khidmat penjagaan kesihatan.

 

"Kami menjangkakan perkembangan tambahan akan disokong oleh jualan defibrilator luaran automatik (AED) selaras dengan keperluan Kementerian Kesihatan yang memutuskan agar setiap bangunan kerjaaan serta kemudahan awam dilengkapi AED menjelang 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, mereka juga merancang untuk membina kilang pengeluaran setingkat dengan keluasan 35,000 kaki persegi lengkap dengan kawasan penyimpanan, dijangka siap dalam tempoh 30 bulan selepas penyenaraian di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.

 

BACA JUGA: UMediC sasar RM31.11 juta daripada IPO di Pasaran ACE BursaMalaysia

 

"Dengan adanya kilang baharu itu, syarikat akan dapat menghasilkan produk baharu yang mungkin dibangunkan pada masa hadapan," katanya.

 

Selain itu, kumpulan itu juga berhasrat mengembangkan segmen pembuatan dengan membangunkan serta mengkomersialkan produk baharu dalam dua tahun akan datang.

 

"Antara produk yang mungkin dikeluarkan termasuk air steril untuk penyedutan, meter aliran oksigen digital, nebulizer dan penderia kelembapan pelembap yang akan dipasarkan kepada pelanggan sedia ada dan melengkapkan senarai penawaran produk jenamanya sendiri," katanya.

 

Firma itu memberi saranan 'langgan' untuk kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) RM0.48. - DagangNews.com