MARA lantik Othman Aziz Pengerusi MARA Corp baharu | DagangNews Skip to main content

MARA lantik Othman Aziz Pengerusi MARA Corp baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Majlis Amanah Rakyat (MARA) melantik bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz sebagai Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp.) yang baharu, berkuat kuasa 28 Disember lalu.

 

Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Dun berkata, Senator Dewan Negara berkenaan memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri korporat.

 

"Berbekalkan pengalaman kerja di syarikat terkemuka seperti Sime Darby Plantations, Syarikat Bersekutu Kumpulan Harrisons Malaysia Plantations Berhad dan sebuah anak syarikat Malaysia Mining Corporation Berhad, termasuk menerajui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), saya yakin lantikan ini tepat dengan aspirasi dan visi MARA Corp.

 

"Ini selari matlamat ke arah sama-sama menyusun dan memangkin pelaburan untuk menyokong mandat serta agenda ekonomi Bumiputera seterusnya," katanya.

 

Memetik laporan Berita Harian, MARA percaya dengan sifat kepimpinan dan pengalaman yang luas Othman Aziz, mampu memperkukuhkan lagi operasi serta perkhidmatan MARA Corp., dalam memaju, membangunkan agenda Bumiputera sekali gus menjana pulangan pelaburan yang baik, konsisten kepada MARA.

 

MARA

 

 

Kementerian Pembangunan Luar Bandar, 8 Mei 2020, mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Syed Muhamad Syed Abdul Kadir bagi menyandang jawatan Pengerusi MARA Corp., berkuat kuasa 15 Mei 2020. - DagangNews.com