Malaysia perlu pembaharuan dasar buruh dengan menerapkan ESG, elak kerosakan ekonomi lebih buruk - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu pembaharuan dasar buruh dengan menerapkan ESG, elak kerosakan ekonomi lebih buruk - AmInvestment

Sektor perladangan antara yang terjejas dengan dakwaan penggunaan buruh paksa. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Malaysia memerlukan pembaharuan sebenar dalam dasar buruh bagi menangani masalah berkaitan perhambaan moden terutama apabila semakin banyak syarikat tempatan menghadapi dakwaan penggunaan buruh paksa sejak akhir-akhir ini. 

 

Perkara ini ditegaskan Ketua Ekonomi AmInvestment Bank Research, Dr. Anthony Dass yang turut menggesa supaya dasar itu dapat memastikan syarikat-syarikat di negara ini menambah baik rangkaian bekalan yang mematuhi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

"Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka 'kehilangan peluang' dalam perniagaan tersebut. 

 

"Langkah drastik ini juga dapat memupuk disiplin dalam kalangan perniagaan dan memacu mereka ke arah meningkatkan nilai ESG selain memberi fokus kepada meraih keuntungan semata-mata," jelasnya dalam laporan tematik hari ini. 

 

Menurut beliau, isu perhambaan moden ini jika tidak ditangani akan mengheret kepada risiko pelaburan yang serius dan akan menjejaskan aliran masuk pelaburan. 

 

Katanya, ini termasuklah kemusnahan kepada jenama dan reputasi syarikat, perubahan peraturan dan risiko perniagaan. 

 

Dalam hal ini, tambahnya, negara tidak boleh bergantung kepada kerajaan sahaja untuk menghapuskan masalah perhambaan moden ini. 

 

"Tiada dasar yang berkesan dan efisien tanpa membangunkan ekosistem yang kukuh dengan menerapkan ESG. 

 

"Ini akhirnya, memerlukan sokongan semua pihak termasuk daripada kerajaan, perniagaan dan komuniti," tegasnya.

 

Isu berkaitan amalan buruh ini dilihat semakin meruncing apabila pada 25 November lalu, Dyson Operations Pte Ltd (Dyson Operations) dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd (Dyson Manufacturing) menamatkan kontrak dengan pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), ATA IMS Bhd.

 

Dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini, syarikat Malaysia iaitu Sime Darby Plantations Bhd., FGV Holdings Bhd., Top Glove Corp. Bhd. dan Supermax Corp. Bhd. dikenakan sekatan perintah tahan pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) disebabkan dakwaan penggunaan buruh paksa.

 

Menurut Anthony, pandemik COVID-19 semakin memburukkan isu berkaitan amalan buruh ini termasuk bagi industri sarung tangan getah. 

 

"Apa yang dipanggil sebagai perubahan kuasa kepada pengeluar disebabkan pandemik ini adalah tidak berkekalan. 

 

"Ini amat penting untuk memastikan penambahbaikan dalam standard amalan buruh sebagai sebahagian daripada strategi rantaian bekalan yang kukuh, tanpa memberi fokus untuk meraih keuntungan semata-mata," jelasnya. 

 

Beliau sekali lagi meningatkan supaya langkah segera dapat diambil bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk kepada ekonomi dan mengambil serius mengenai komitmen ke arah kemampanan. 

 

"Risiko kebanyakan syarikat global untuk mengecualikan syarikat dari Malaysia yang didakwa terlibat dengan amalan buruh paksa daripada rantaian bekalan adalah tinggi. 

 

"Tambahan pula, pelabur kini menggunakan faktor bukan kewangan sebagai sebahagian daripada analisis untuk mengenal pasti risiko dan peluang pertumbuhan, dan ini menunjukkan betapa pentingnya penilaian terhadap ESG," katanya. - DagangNews.com