Malaysia bakal terima pelaburan hampir RM34 bilion daripada konglomerat Arab Saudi, Ajlan Bros - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia bakal terima pelaburan hampir RM34 bilion daripada konglomerat Arab Saudi, Ajlan Bros - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bergambar ketika majlis menandatangani dan pertukaran perjanjian persefahaman di antara syarikat-syarikat Malaysia dengan Ajlan Bros Holding Group pada 29 Ogos 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Sembilan syarikat Malaysia bakal menerima pelaburan hampir RM34 bilion (AS$7.5 billion) daripada konglomerat Arab Saudi, Ajlan Bros Holding Group, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, sembilan syarikat terbabit, termasuk Dagang NeXchange Berhad (DNeX), Aerodyne Systems Sdn Bhd, National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI), Twistcode Technologies Sdn Bhd, CyberSecurity Malaysia, Malaysia Genomics Resources Centre Berhad, Meta Universe Sdn Bhd, Light Up 7 Sdn Bhd dan My Events Sdn Bhd.

 

Beliau berkata, ia melibatkan pelaburan secara kolektif dalam sektor semikonduktor, perdagangan sosial, teknologi perubatan, industri pertahanan dan hiburan. 

 

"Kerjasama ini membuktikan Malaysia kekal utuh sebagai destinasi pelaburan utama dunia yang turut menjadikan kesan pengganda kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

"Selain itu, kerjasama syarikat Malaysia bersama Ajlan Bros Holding Group ini juga berupaya meningkatkan daya saing syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, pelaburan berimpak tinggi ini amat penting bagi memacu negara serta seluruh Keluarga Malaysia pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik COVID-19 dan krisis geopolitik yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi.

 

Terdahulu, Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) di antara sembilan buah syarikat Malaysia dengan Ajlan Bros Holding Group yang diwakili Timbalan Pengerusinya, Mohammed Abdulaziz Al Ajlan. - DagangNews.com