Pemansuhan AP adalah tepat tetapi langkah susulan amat genting elak berulang – Dr Nungsari | DagangNews Skip to main content

Pemansuhan AP adalah tepat tetapi langkah susulan amat genting elak berulang – Dr Nungsari

Langkah susulan sepatutnya diatur agar perkara seumpama ini dapat dielakkan di masa hadapan.
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 31 Mei – Keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) ayam adalah langkah yang sesuai dengan keadaan semasa, di mana AP seharusnya dihapuskan, dan ia tidak hanya terhad kepada makanan.

 

Pakar ekonomi Dr Nungsari Radhi berkata, menghapuskan AP adalah tepat, namun ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ayam yang dihadapi Malaysia serta dunia, disebabkan oleh isu perang Rusia-Ukraine.

 

Walau bagaimanapun kata beliau, langkah susulan sepatutnya diatur agar perkara seumpama ini dapat dielakkan di masa hadapan.

 

"Kerajaan harus secara sistematik menangani pelbagai hubungan antara kapasiti pengeluaran domestik, akses kepada bekalan, kos dan kemampuan.

 

“Kita harus ingat bahawa Malaysia mengimport sejumlah besar makanan ruji, hampir 40% (beras), hampir 80% daging lembu dan mangga kami, 70% cili dan 30% kelapa,’’ katanya kepada DagangNews.com di sini hari ini.

 

Beliau diminta mengulas  langkah  kerajaan memansuhkan AP ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan dan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan mulai 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil dengan keutamaan terhadap bekalan rakyat negara ini.

 

 

Dr Nungsari Radhi
                                      Dr Nungsari Radhi

 

 

Dr Nungsari berkata, terdapat juga barangan seperti gandum, jagung dan kacang soya yang tidak ditanam di negara ini dan diimport sepenuhnya.

 

Di samping itu, Nungsari menyarankan agar Malaysia untuk kembali meningkatkan pengeluaran makanan sendiri dan mendorong agar industri agrikultur dan pertanian untuk menerima pakai teknologi dan dianggap sebagai perniagaan bernilai tinggi.

 

"Ia mestilah lebih didorong oleh teknologi, yang juga bermakna ia memerlukan pelbagai jenis input buruh.

 

“Industri ternakan ayam sebenarnya adalah satu contoh. Perlu juga ada perubahan perspektif daripada yang cenderung melihat agrimakanan huluan dalam perspektif yang sama seperti perladangan - kawasan tanah yang besar ditambah dengan buruh murah dan modal yang minimum," jelas beliau lagi.
 

 

PM

 

Nungsari turut menekankan bahawa sentimen bahawa pertanian adalah berkaitan dengan pembangunan luar bandar harus dihapuskan.

 

"Ia sepatutnya dilihat sebagai pembangunan industri. Ini secara tidak langsung dapat menangani isu kenaikan harga dan keterjangkauan makanan secara holistik dan sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan makanan negara yang lebih luas dalam dunia yang berada dalam sedikit kegawatan dan menghadapi perubahan iklim.

 

Akhir sekali beliau berkata Malaysia sering mengaitkan pertanian dengan skala besar kerana negara beranggapan ia harus dilakukan seperti sektor perladangan.

 

"Kita harus ingat pemain industri yang terlibat dalam sektor ternakan ayam merupakan syarikat yang disenaraikan di bursa serta mempunyai beberapa teknologi paling canggih hari ini, hal yang sama boleh dipraktikkan bagi agrimakanan dan sebagainya.

 

Dr Nungsari berkata, Malaysia harus melangkah ke hadapan untuk menerajui perjanjian serantau dan pada masa yang sama mengukuhkan kerjasama dua hala sedia ada mengenai keselamatan makanan dan pengeluaran makanan serantau.

 

"Malaysia sentiasa boleh menggunakan kepakaran dan pengeluaran minyak sawit negara sebagai batu loncatan untuk mendapatkan bekalan makanan import.

 

 

sawit
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia. - Gambar DagangNews

 

 

Bukan sahaja itu, Malaysia harus mengambil peluang mengeratkan lagi kerjasama dengan Singapura, yang merupakan hab utama Asia, dan Indonesia serta Thailand sebagai pengeluar dan pengguna utama makanan seperti beras," ujarnya.

 

Dr Nungsari turut menjelaskan lagi bahawa Malaysia boleh berunding dengan negara-negara pengeluar makanan utama rakyat Malaysia, di mana jika dilihat dari perspektif yang sama, persetujuan atau kerjasama yang lebih erat dapat dicapai memandangkan negara-negara pengeluar makanan ini juga memerlukan jaminan untuk bekalan kelapa sawit.

 

"Atas dasar keselamatan makanan, kita boleh bekerjasama dengan negara-negara ini, sebagai contohnya, beras di mana Malaysia mengimport hampir 40% daripada keperluan negara. Katakan India dan China, dua negara yang mahukan bekalan kelapa sawit.

 

"Mereka berdua, atas dasar keselamatan makanan yang sama mahukan jaminan bekalan kelapa sawit. Kerajaan haruslah memanfaatkan perjanjian dua hala mengenai keselamatan dan sistem pembayaran bekalan makanan terutamanya pada masa-masa bekalan makanan meruncing dan apabila diperlukan," jelas beliau lagi. – DagangNews.com