Kumaran mahu guna pengalaman bantu IPPTAR muncul penyedia latihan terunggul industri penyiaran | DagangNews Skip to main content

Kumaran mahu guna pengalaman bantu IPPTAR muncul penyedia latihan terunggul industri penyiaran

Oleh FAIZAL ZAKARIA

INSTITUT Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, atau lebih dikenali sebagai IPPTAR merupakan sebuah institusi latihan yang ditubuhkan dengan objektif asal untuk menyediakan kursus-kursus profesional dalam bidang penyiaran dan penerangan.

 

Ditubuhkan pada tahun 1971 dengan dikenali sebagai Pusat Latihan Negara pada peringkat awalnya, ia diletakkan di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dengan memberi fokus kepada latihan kepada kakitangan RTM.

 

Tahun 2008 menyaksikan institusi itu mengalami era transformasi apabila ia telah dinaiktaraf menjadi sebuah jabatan yang tersendiri dan diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

 

Pada tahun 2016, IPPTAR telah mengorak langkah dengan menyusun semula organisasi yang lebih mantap dengan visi untuk memperkasa kebolehan prestasi penjawat awam selain melahirkan lebih ramai pengamal media yang kompeten, berdaya saing dan pakar dalam tiga bidang utama iaitu Industri Kreatif, Komunikasi Strategik, dan Kejuruteraan Penyiaran.

 

Sehingga kini, selepas lebih 40 tahun kewujudannya, IPPTAR telah memainkan peranan yang penting dalam membantu sektor industri penyiaran negara untuk terus berkembangan sejajar dengan tuntutan semasa.

 

 

Kumaran Subramaniam
                 Kumaran Subramaniam

 


Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Bahagian Akademik IPPTAR, Kumaran Subramaniam yang memberitahu, ketiga-tiga bidang tersebut mampu meningkatkan imej institusi itu sebagai sebuah pusat latihan penyiaran bersepadu dan unggul di negara ini.

 

“Di IPPTAR, fokus utama kami adalah menyediakan dan menawarkan kursus-kursus latihan berkaitan teknologi penyiaran, penerbitan, pembangunan kandungan dan komunikasi kepada pengamal media, pemain industri dan kakitangan awam.

 

“Disebabkan perkembangan teknologi penyiaran berlaku dengan pantas, maka kami mengambil inisiatif untuk golongan ini agar turut seiring dengan arus kemajuan yang berlaku.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IPPTAR komited bantu tingkatkan industri penyiaran negara

 

“Ini kerana masih ramai pengamal media, penerbit rancangan dan mereka yang berada dalam industri yang tidak menjalani pendidikan formal berkaitan teknologi penyiaran walaupun mereka berpengalaman dalam bidang tersebut.

 

“Justeru itu, kami di IPPTAR ingin merapatkan jurang tersebut dan menyeimbangkan antara pengalaman dan pendidikan formal ini menerusi kursus-kursus yang ditawarkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.


 

IPPTAR
Kursus mengendali sistem penyiaran antara yang disediakan oleh IPPTAR.

 


Menurut Kumaran lagi, pengalamannya yang luas dalam bidang penyiaran turut diyakini dapat membantu IPPTAR dalam membangunkan modul-modul kursus yang dapat memenuhi keperluan pasaran semasa termasuk memenuhi piawaian antarabangsa.

 

Mengulas mengenai pengalaman peribadinya dalam bidang tersebut, Kumaran memberitahu beliau sebelum ini pernah bertugas di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) selama 20 tahun.

 

“Sebelum ini, saya pernah bertugas di unit operasi radio selama 10 tahun sebagai juruhebah dan ketua rancangan radio sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan timbalan pengurus dan pengurus unit.

 

BACA JUGA: IPPTAR tawar 80 kursus tingkatkan kemahiran dalam bidang teknologi penyiaran

 

“Selain itu, saya juga pernah bertugas dalam bidang penerbitan televisyen di bawah unit hal ehwal awam dan terlibat dalam rancangan Intrend, sketsa, selain program siaran langsung.

 

“Sebelum dipindahkan ke IPPTAR, saya pernah bertugas sebagai Pengurus TV2 dan terlibat dalam pengurusan operasi siaran tersebut secara keseluruhannya.

 

“Jadi saya percaya, pengalaman yang saya miliki itu dapat membantu saya untuk mencapai misi IPPTAR untuk muncul sebagai penyedia latihan berkaitan penyiaran yang kompeten dan unggul,” katanya.

 

 

IPPTAR
Peserta-peserta kursus yang dianjurkan oleh IPPTAR baru-baru ini.

 


Malah kata beliau, sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap pembangunan modul latihan dan kursus di IPPTAR, dia sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa pengalaman yang luas semata-mata tidak mampu menjadikan seseorang itu bertaraf profesional.

 

Ini kerana jelasnya, dengan pengalaman semata-mata, seseorang pemain industri itu tidak mampu menghasilkan karya dan kandungan yang berkualiti untuk mencapai standard yang diinginkan oleh pasaran semasa.

 

Justeru kata beliau, sudah menjadi tanggungjawab IPPTAR untuk mengisi kelompongan tersebut dengan menyediakan kursus-kursus bertaraf profesional kepada golongan ini agar mereka turut memperoleh pendidikan formal di dalam bidang masing-masing.

 

“Secara peribadi, saya ingin melihat IPPTAR mampu berfungsi sebagai sebuah institusi penyedia latihan yang eksklusif dan inklusif selain mampu memberi impak yang besar kepada perubahan yang positif dalam industri penyiaran negara,” katanya. – DagangNews.com