KPower jual aset di Bentong, Pahang berharga RM12 juta | DagangNews Skip to main content

KPower jual aset di Bentong, Pahang berharga RM12 juta

Penjualan aset ini bagi mempercepatkan inisiatif penjenamaan semula, penstrukturan semula dan permodalan semula KPower
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Jun – KPower Berhad hari ini mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Powernet Industries Sdn. Bhd. (PISB), telah memeterai perjanjian jual beli dengan Magnitude Resources Sdn. Bhd. (MRSB) bagi cadangan pelupusan tanah dan harta perindustriannya di Bentong, Pahang sebanyak RM12 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KPower, Amirul Afif Abd Aziz berkata, dalam usaha selanjutnya untuk mempercepatkan inisiatif penjenamaan semula, penstrukturan semula dan permodalan semula KPower, syarikat telah membuat keputusan untuk melepaskan aset bukan teras dan menggunakan sumber itu untuk menumpukan pada perniagaan teras dalam sfera kelestarian tenaga dan utiliti.

 

Beliau berkata, syarikat percaya masih terdapat banyak peluang dalam industri tenaga dan utiliti yang mampan yang hanya menunggu untuk dimanfaatkan.

 

Katanya, satu cara untuk meneruskannya adalah melalui Cadangan Pelupusan yang akan menyediakan aliran tunai segera kepada Kumpulan yang akan dilabur semula untuk menjana pendapatan masa depan bagi penciptaan kekayaan jangka panjang dan nilai untuk para pemegang saham.

 

"Pada masa yang sama, kami juga berharap Cadangan Pelupusan akan membantu merangsang keuntungan Kumpulan yang telah terjejas oleh kos tinggi yang berkaitan dengan pembuatan perniagaan tekstil yang berada dalam kedudukan negatif sejak 2004," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut Cadangan Pelupusan itu, hasil tunai berjumlah RM12 juta telah diperuntukkan sebahagian besarnya untuk keperluan modal kerja am dan dijangka diselesaikan pada akhir Jun ini.

 

 

Amirul Afif Abd Aziz
                  Amirul Afif Abd Aziz

 


KPower beroperasi dalam segmen tenaga mampan dan utiliti khusus dalam Tenaga Boleh Diperbaharui (RE).

 

Ditubuhkan pada 3 Februari 1997, KPower telah disenarai awam pada 22 Mac 2002 sebagai sebuah syarikat pembuatan tekstil dan kemudiannya dipindahkan ke Pasaran Utama Bursa Securities pada tahun 2009.

 

Pada Jun 2019, Kumpulan yang diketuai oleh Mustakim Mat Nun, memulakan transformasi besar kepada segmen baharu termasuk tenaga mampan dan utiliti dengan tumpuan kepada aktiviti berkaitan pembinaan dan perkhidmatan kejuruteraan khusus. - DagangNews.com