Ketibaan Dr Mahathir ke Dubai Internet City pada April 2001 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 25 March 2021

Ketibaan Dr Mahathir ke Dubai Internet City pada April 2001

 

 

SAAT telah tiba untuk menyambut kedatangan Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia pada April 2001. Ini adalah sejarah untuk Dubai Internet City, terutama untuk saya anak Malaysia yang pertama menyambut seorang perdana menteri.

 

Sewaktu di TV3, Dr Mahathir pernah mengadakan lawatan rasmi setelah Anwar Ibrahim dibuang dari jawatan timbalan perdana menteri dan UMNO.

 

wainouimata

 

Saya masih ingat lawatan ke Sri Pentas itu. Sepanjang saya bekerja di TV3, apa yang saya ketahui Anwar memegang peranan dalam naungan. Saya tidak pasti. Setelah pengurus-pengurus diberhentikan kerja susulan pemecatan Anwar, saya mula memahami.

 

TV3 adalah tempat politik kerana penyebaran berita tentunya orang berita adalah pilihan orang politik. Dikatakan ketua jabatan berita melaporkan diri pada orang politik iaitu orang UMNO yang berkuasa, bukan pengarah urusan TV3. Saya tidak dapat menyangkal dari apa yang saya tahu.

 

Begitu lawatan Dr Mahathir ke Dubai Internet City adalah satu kelainan. Pada masa itu MSC sedang hangat dengan Cyberjaya yang sedang dalam pembinaan. Semua orang bercakap mengenai Internet pada masa itu, tahun 2001 menanda satu lagi perubahan untuk pembangunan negara.

 

Saya sempat membaca buku biografi Dr Mahathir, “A Doctor in the house

Dr Mahathir menulis.

Peluang kita mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mapan dengan mudah sahaja dirosakkan oleh kedangkalan seperti ini, dan walaupun Cyberjaya terus berkembang, ia tidak serancak yang diharapkan. Saya menghadiri satu mesyuarat IAP pada tahun pertama selepas saya bersara dan saya tidak jelas apa yang berlaku di Cyberjaya sekarang.

 

 

wainouimata

 

Tulisan itu mengingatkan saya kedatangan Dr Mahathir setelah diberitahu oleh pengerusi Cyberview pada masa itu, saya terlupa nama. Dr Mahathir mahu tahu bagaimana Dubai Internet City jauh lebih ke depan dari segi kemasukan dana syarikat-syarikat antarabangsa seperti Microsoft, Oracles, Cisco dan SAS.

 

Setahu saya Microsoft tidak melabur di Cyberjaya sedangkan di Dubai Internet City membawa 200 staf dari Amerika. Dengan bangunan lima tingkat untuk kontraktornya sekali menyewa untuk 50 tahun.

 

Saya ada berbincang dengan pengerusi Microsoft Dubai untuk perpindahan itu.

 

Bekas pengerusi Cyberview itu ada  bersekali dengan Dr Mahathir dengan tidak menghiraukan pengerusi MDC, Dr Othman Yeop. Saya tidak perasan kerana kesibukan. Tetapi saya diberitahu Dr Othman Yeop hanya diam.

 

Saya bersiap waktu pagi lagi untuk memastikan semuanya seperti dirancang mengikut spesifikasi yang telah dipersetujui bersama. Ke sana ke mari untuk berpuas hati dengan persediaan.

 

Polis Dubai hanya menghantar seorang SB yang bertanya sama ada telah bersiap sedia. SB Malaysia sudah bersedia dan mereka menegur saya dengan gembira. Ketua SB waktu itu jadi kawan baik.

 

Saya menanti di luar dan ramai telah datang memenuhi lounge. Duta Malaysia ke UAE saya kenal telah tiba.

 

Saya ditegur oleh seseorang yang tersenyum. Saya terus menyambut dengan riang.

“Saya, Mokhtar Albukhary.”

Saya tergamam dan seperti mamai.

 

wainouimata

 

“Tuan Syed Mokhtar Albukhary?”

Saya terkejut.

 

Syed Mokhtar tersenyum riang.

“Ini Azman Hashim!”

 

wainouimata

 

Saya lagi terperanjat dan terkejut.

 

Ada lapan orang yang dianggap bilionair Malaysia tersenyum kepada saya. Tidak sangka bertemu lapan bilionair serentak. Saya sangat teruja dan gembira tetapi terlupa untuk mengambil gambar.

 

Saya memperkenal diri dengan kelapan-lapan bilionair termasuk Vincent Tan.

 

Kami berbual dengan gelak ketawa sambil menanti Dr Mahathir tiba. Semua bertanya kepada saya yang menjadi perhatian.

 

Kemudian datang Muhammad Gergawi, pengerusi Dubai Internet City dengan Ahmad bin Byat, CEO sambil tersenyum. Muhammad membawa lapan bilionair dan yang lain ke bangunan tempat makan.

 

wainouimata
Muhammad Gergawi

 

Saya masih dengan Syed Mokhtar dan Azman Hisham yang banyak bertanya. Pertanyaan seperti bagaimana saya mendapat kerja di situ. Soalan-soalan peribadi yang tertumpu kepda saya tetapi saya tetap menjawab dengan baik.

 

Dr Mahathir pun tiba disambut Duta Malaysia dan Mohammad Gergawi, Ahmad bin Byat yang membawa ke pentas sambutan rasmi. Saya hanya bersalam tanpa memperkenalkan diri.

 

Mohammad Gergawi terus berucap mengucapkan selamat datang pada Dr Mahathir.

 

“Saya ingin memperkenalkan rakyat Malaysia yang menjadi duta Malaysia ke Dubai Internet City!”

 

Muhammad berhenti mencari saya. Saya sangat teruja.

 

“Beliau ialah Mohamad Fudzail, staf kami yang bertanggungjawab dengan lawatan Dr Mahathir!”

 

Dr Mahathir memandang dan tersenyum. Tepukan gemuruh. Muhammad memperkenalkan saya kepada Dr Mahathir dan rombongan.

 

Saya hanya tersenyum, gembira dengan penghormatan Muhammad Gergawi yang tidak disangka. Semua mata memandang agak hairan.

 

Syed Mokhtar bersalaman sekali lagi.

“Jangan lupa balik Malaysia cari saya,” katanya sambil memberi nombor telefon.

 

Kemudian Dr Mahathir dibawa untuk MOU dan berjalan di sekitar Dubai Internet City.

 

wainouimata
Kota Dubai yang dirakam pada tahun 2001.

 

Ada seseorang menegur.

“Saya pengerusi TV3!”

Saya berpaling dan terus ketawa.

“TV3 membuang saya!”

Dia terkejut.

“Ya, TV3 membuang saya, terima kasih saya ucapkan. Kalau tidak, tidaklah sampai ke Riyadh dan Dubai!”

 

Dia masih terdiam dan melihat saya berkejar ke arah Dr Mahathir!

 

 

(Bersambung)

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

BACA JUGA WAINUIOMATA : Aktif gerakan reformasi 1999, TV3 buang kerja!!!

dan

Polis SB cam penyokong reformasi di Dubai

Dr Othman Yeop beritahu, Dr Mahathir akan datang melawat Dubai

Gergawi tanya : Are you on the take?

Sheikh al Maktoum bagi tugasan mendadak

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags