Kawan Food tembusi pasaran Amerika Selatan di sebalik cabaran pandemik | DagangNews Skip to main content

Kawan Food tembusi pasaran Amerika Selatan di sebalik cabaran pandemik

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Permintaan bagi produk keluaran Kawan Food Bhd. dijangka terus mencatat prestasi kukuh terutama bagi makanan sejuk beku berikutan perubahan trend pengguna sepanjang pandemik COVID-19.

 

Ini menjadi satu kelebihan buat Kawan Food meskipun pengeluarannya agak terjejas disebabkan kekangan operasi bagi mengurangkan penularan wabak itu. 

 

"Namun, jika dilihat, kumpulan tidak berdepan dengan sebarang pembatalan tempahan, malah ia mampu meningkatkan lagi penguasaan pasaran antara 3 hingga 5% dalam pasaran tempatan. 

 

"Sebelum pandemik ini melanda negara, penguasaan pasaran Kawan Food adalah kira-kira 60%," menurut Public Investment Bank Research (PublicInvest) dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu baru-baru ini menyertai sesi pembentangan untuk meninjau perkembangan syarikat bagi tahun ini. 

 

Ia melihat prospek kumpulan adalah kukuh terutamanya disokong permintaan makanan sejuk beku daripada pasaran tempatan dan luar negara.

 

PublicInvest berkata, di sebalik cabaran pandemik, Kawan Food terus melebarkan sayapnya dan berjaya memasuki pasaran baharu di Amerika Selatan. 

 

Katanya, pasaran baharu ini dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan pada suku keempat tahun kewangan 2021. 

 

"Walaupun berdepan kekangan dari segi tenaga kerja yang turut mengehadkan pengeluaran produk baharunya (seperti Pizza dan Malabar Roti), tetapi kumpulan kemudiannya mampu menambah pekerja baharu kepada 400 orang berbanding 300 orang sebelum ini.

 

"Ini secara tidak langsung membolehkan Kawan Food meningkatkan pengeluaran bagi produk baharu setelah ia mendapat respons positif daripada kalangan pengguna tempatan," tambahnya.

 

Ketika penutupan sementara kilang selama 2 minggu mulai 14 hingga 28 Jun lalu dan sekatan pergerakan yang lebih ketat menyaksikan kadar penggunaannya merosot kepada 45 hingga 55% (berbanding suku pertama, 55 hingga 60%).

 

Kumpulan bagaimanapun berjaya memastikan kakitangannya memperoleh vaksin dan memulakan pengeluaran pada kapasiti penuh mulai 16 Ogos lalu.

 

"Pada masa akan datang, kami menjangkakan kadar penggunaan kilang akan meningkat antara 60 hingg 65% terutama dengan banyak tempahan tertangguh yang kukuh dan permintaan dari pelanggan tempatan dan luar negara," katanya. 

 

Apabila Kawan Food meningkatkan kadar penggunaannya, ia membolehkan kumpulan menikmati margin keuntungan dan kecekapan pengeluaran yang lebih baik.

 

Sehubungan itu, PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' bagi saham Kawan Food dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.75. 

 

"Kumpulan juga menerapkan penggunaan industri 4.0 dan melakukan beberapa projek transformasi pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran, mengurangkan pembaziran dan kebergantungan kepada tenaga kerja," jelas firma itu. - DagangNews.com