Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kelantan 22 Julai ini dijangka tarik 50,000 pengunjung - Annuar Musa | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kelantan 22 Julai ini dijangka tarik 50,000 pengunjung - Annuar Musa

KOTA BHARU 3 Julai - Seramai 50,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri Kelantan yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 Julai depan di Stadium Sultan Muhammad IV. 

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang juga penyelaras Jelajah AKM negeri itu, berkata, pihaknya optimis dapat mencapai sasaran tersebut kerana pelbagai aktiviti dan acara menarik bakal disajikan sekali gus mampu mengatasi jumlah kehadiran pengunjung di negeri lain.

 

"Kita berhasrat untuk menjadikan JAKM di Kelantan ini sebagai satu program yang memberikan peluang kepada rakyat seperti para usahawan, pemain industri kreatif, belia dan remaja menyertai program-program yang disediakan.

 

"Sememangnya fokus utama  kita adalah menyampaikan segala perkhidmatan kerajaan sebagaimana hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya rakyat dapat mengetahui lebih dekat lagi apa yang dilakukan kerajaan," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat mengenai Jelajah AKM peringkat negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, seperti dilapor Bernama semalam.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara pengisian program yang akan diadakan ialah Wacana Ulama Nusantara membabitkan ulama terkenal dari Malaysia, Indonesia dan Thailand selain persembahan Muay Thai Antarabangsa.

 

BERITA BERKAITAN: Jelajah AKM Kelantan tawar hampir 4,000 peluang kerja

 

Jelajah AKM sebelum ini telah diadakan di Johor, Perlis, Sabah dan Terengganu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada Keluarga Malaysia.

 

Bagi edisi ke-5 di peringkat negeri Perak yang berakhir petang ini, ia dijangka dihadiri lebih 30,000 pengunjung sejak Jumaat lalu. - DagangNews.com