KUALA LUMPUR 19 Julai - Warga Kelantan yang hadir ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Kelantan bermula 22 hingga 24 Julai ini, tidak akan pulang dengan tangan kosong berikutan pelbagai pengisian program daripada 26 kementerian akan disediakan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Mastura Ahmad Mustafa berkata, sebanyak tujuh bas sehenti disediakan yang akan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pemeriksaan keluarga, pemeriksaan gigi serta pendaftaran kad pengenalan dan sijil perkahwinan sekiranya hilang.
“Saya boleh pastikan, kalau semua pulang daripada AKM, mereka tidak akan pulang dengan tangan kosong. Ada yang membawa barangan cabutan bertuah, sijil perkahwinan baharu.
“Ada juga yang mungkin akan mendapatkan pekerjaan kerana setiap kali AKM, memang ada sebilangan yang dapat pekerjaan pada hari itu juga,” katanya dalam program Assalamualaikum terbitan TVAlhijrah hari ini.
Selain itu, K-KOMM sebagai kementerian peneraju akan berada di tiga lokasi dengan agensi di bawah K-KOMM seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Jabatan Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat.
Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak ke khemah karnival digital yang terdapat reruai (booth) daripada telco seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan menarik selain persembahan dan bengkel berkaitan seni, budaya dan kraftangan Kelantan daripada K-KOMM bagi memeriahkan lagi AKM yang akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Di samping itu, Bicara Ulama Nusantara akan mengumpulkan ulama dari tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia akan diadakan pada Jumaat (22 Julai) selama dua jam serta ‘Bekwoh’ (kenduri secara besar-besaran) yang akan diadakan pada Sabtu di Dewan Tun Ghaffar Baba, Melor, Kelantan.
“Kita jangka (jelajah ini) akan dihadiri oleh 5,000 penduduk setempat di situ, mereka akan gotong-royong memasak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan hadir untuk makan bersama dengan rakyat Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri akan turut melancarkan hab digital di Ketereh, Kelantan dan 5G pada Sabtu bersempena dengan AKM edisi ini, Bernama melaporkan.
“Jadi saya mengharapkan rakyat Kelantan untuk turun ke AKM bagi mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan dengan digital e-dagang dan telekomunikasi sebab memang ada menyediakan perkhidmatan begitu di AKM Kelantan,” kata Mastura. - DagangNews.com








