Dasar ekonomi kini tidak jelas, perkenalkan Dasar Pandang Ke China | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 27 March 2023

Dasar ekonomi kini tidak jelas, perkenalkan Dasar Pandang Ke China

 

 

WALAUPUN  “nampaknya” Malaysia agak stabil dengan keadaan politik namun begitu dasar-dasar ekonomi dan pelaburan masih lagi belum begitu jelas dalam proses memulihkan negara.

 

Jika dahulu, kita pernah mendegar Dasar Pandang Ke Timur yang mana dasar ini menjadikan Jepun dan Korea sebagai contoh dalam hala tuju membina negara. Namun kini, adalah dasar ini masih relevan?

 

Kenali Dasar Pandang Ke Timur

Dasar Pandang Ke Timur ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982 semasa Persidangan 5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA di Kuala Lumpur.

 

 

tun

 

 

Melalui dasar ini,  pihak Kerajaan akan membuat kajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia.

 

Banyak salah faham tentang dasar ini yang mana adalah tidak tepat bila Dasar Pandang Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dan mengenepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara lain.

 

41 Tahun Telah Berlalu

Dasar Pandang Ke Timur yang dilancarkan oleh Tun ini sudah terlalu lama untuk Malaysia guna pakai dalam memacu semula ekonomi.

 

Mungkin  ada yang menyatakan ia masih relevan dalam keadaan semasa, namun Malaysia perlu terus bangkit dengan dasar-dasar baharu yang lebih relevan dan kompetitif.

 

Untuk persaingan ekonomi ASEAN mahupun global, Malaysia perlu menyediakan dasar yang komprehensif kerana kini banyak negara yang telah mempunyai kekuatan dan kapasiti ekonomi yang setanding Malaysia terutamanya negara-negara ASEAN.

 

Analisis Semak dan Imbang Dasar Pandang Ke Timur

Untuk memastikan dasar-dasar baharu yang lebih baik dan kompetitif, kerajaan perlu menganalisis Dasar Pandang Ke Timur sebelum ini. Tidak dinafikan dasar ini telah membawa  kesan positif dan baik buat negara selama 41 tahun ini.

 

Namun begitu, kita perlu berpijak di bumi yang nyata, melalui dasar ini, Malaysia terlalu bergantung kepada eksport sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi. Apakah kesannya jika ekonomi negara terlalu bergantung kepada eksport? Ia membuatkan Malaysia terlalu bergantung kepada permintaan pasar luar.

 

Selain itu, dasar ini juga banyak tertumpu kepada sektor pembuatan dan kurang menekankan sektor perkhidmatan. Seperti yang kita tahu, sektor perkhidmatan semakin berkembang dan menguntungkan.

 

 

tnb

 

 

Walaupun dasar ini memfokus kepada sektor pembuatan dan bukannya perkhidmatan, Malaysia sebenarnya “kurang berjaya” meningkatkan keupayaan pengeluaran sektor pembuatan dan akhirnya Malaysia sendiri terpaksa mengimport banyak komponen dan barang dari negara lain. Ia melibatkan kos yang tinggi dan akhirnya mengurangkan keuntungan sektor pembuatan negara.

 

Dasar Pandang Ke China?

Dalam membangun dasar-dasar baharu negara, Malaysia juga boleh melihat China sebagai peluang baharu untuk memulihkan dan mengembangkan ekonomi negara.

 

Pada tahun 2022 yang lalu, perdagangan antara China-Malaysia meningkat 18.5% dan mencecah nilai AS$ 184.75 bilion.

 

Pelaburan China di Malaysia menduduki tempat teratas pada tahun 2022, mencecah lebih  AS$12 bilion dan menyumbang melebihi 57%  peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang menjadikan ekonomi kedua terbesar dunia itu rakan kongsi pembangunan terpenting Malaysia.

 

Berdasarkan status semasa, “tidak salah” jika Malaysia membangunkan dasar yang berkaitan dengan  China bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

 

One Belt, One Road (OBOR) dan Kesan Ekonomi

Inisiatif One Belt, One Road (OBOR) oleh China ini bertujuan untuk membina rangkaian pengangkutan, tenaga dan komunikasi yang menghubungkan Asia, Eropah dan Afrika serta meningkatkan kerjasama ekonomi antara negara-negara yang terlibat.

 

Malaysia juga boleh memperoleh kesan limpahan ekonomi daripada OBOR ini jika ianya berjaya dilaksanakan sepenuhnya. OBOR dilihat bakal meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan  dengan membina infrastruktur yang lebih baik dan boleh meningkatkan aksesibiliti  antara negara-negara  Asia, Eropah mahupun Afrika.

 

 

One Belt, One Road (OBOR)

 

 

Dengan aksesibiliti ini, ia akan mempercepatkan perdagangan dan meningkatkan pelaburan dan akan memberi manfaat kepada negara-negara yang terlibat.

 

Dalam apa saja dasar dan strategi yang mahu dibuat oleh negara, elemen kebijaksanaan bagi menghadapi perubahan geopolitik antarabangsa perlu dilakukan teliti.

 

Dasar Perdagangan Mampan dan Inklusif

Selain melihat China sebagai peluang terbesar negara, Malaysia juga perlu untuk membangunkan Dasar Perdagangan Mampan dan Inklusif.

 

Apa yang dimaksudkan dengan Dasar Perdagangan Mampan dan Inklusif, semua segmen sama ada kerajaan, sektor swasta dan masyarakat perlu bekerjasama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang signifikan buat negara dan akhirnya membawa kesejahteraan masyarakat.

 

Malaysia perlu terus merangka strategi dalam menghadapi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau  (RCEP) yang berkaitan dengan rantaian bekalan dan perdagangan antarabangsa.

 

Dasar Pendigitalan dan ESG

Bagi memastikan Malaysia kekal relevan dan rantau ini dan dunia, penggunaan teknologi digital dan pelaksanaan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam urusan perniagaan dan perdagangan menjadi kunci untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dari segi teknologi dan tadbir urus perdagangan.

 

Kini, ekonomi digital dilihat paling berpotensi untuk meningkatkan daya saing ekonomi. Kebanyakan negara melabur dalam ekonomi digital bagi memastikan mereka menjadi lebih inklusif, cekap dan inovatif dengan memanfaatkan teknologi digital.

 

 

esg

 

 

Negara seperti Finland, Singapura dan Thailand telah memperkenalkan strategi dan inisiatif jangka panjang untuk meraih manfaat di samping melindungi negara daripada risiko ekonomi digital. Kini, apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah lestarikan Rangka Tindakan Ekonomi Digital yang telah dirancangkan.

 

Selain, ekonomi digital, ESG juga satu keperluan semasa. Jika kita abaikan ESG, akses pasaran bagi pengeksport dan perniagaan negara  akan terjejas.

 

Kerajaan perlu segerakan Rangka Kerja Kebangsaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG), bagi sektor-sektor utama di Malaysia terutamanya untuk sektor pembuatan  yang perlu menerapkan nilai-nilai ESG.

 

Ia terdiri daripada empat komponen, iaitu piawaian,  sokongan kewangan dan insentif, pembinaan kapasiti,  dan mekanisme pasaran, termasuk perdagangan dan penetapan harga karbon. 

 

Dasar Pelaburan Baharu

Ekonomi global berubah dengan pantas dan persaingan untuk pelaburan langsung asing (FDI) di rantau ASEAN juga amat sengit. Malaysia  perlu mewujudkan persekitaran yang sangat kondusif, terutamanya untuk industri tumpuan dalam Dasar Pelaburan Baharu.

 

Antara yang perlu diberi tumpuan kepada Dasar Pelaburan Baharu sebagai contoh Elektrik dan Elektrinik (E&E) bernilai lebih tinggi, Peranti Perubatan, Farmaseutikal, Ekonomi Digital, Aeroangkasa, dan Bahan Kimia, serta sektor-sektor seperti EV, pusat data dan sekuriti makanan.

 

 

volatiliti

 

 

Pulihkan Ekonomi Negara

Tidak kira apa pun dasar yang negara ingin tetapkan, Malaysia perlu tingkatkan dalam rantaian nilai perdagangan agar negara dapat beralih kepada model ekonomi baharu yang lebih baik! - DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags