Tarif elektrik: Analisis mudah untuk kita marhaen | DagangNews.com Skip to main content

Tarif elektrik: Analisis mudah untuk kita marhaen

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

BARU-BARU ini berita dari Singapura melaporkan kenaikan harga elektrik mula dirasai oleh rakyat republik itu, terutama pengusaha restoran sehingga mereka terpaksa membuat keputusan untuk menaikkan caj kepada pelanggan, mengehadkan waktu operasi atau menutup perniagaan sama sekali.

 

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pasaran elektrik Singapura telah digegarkan oleh ketidaktentuan di tengah-tengah krisis tenaga global yang mengakibatkan harga gas asli melambung tinggi.

 

Gangguan loji penjanaan kuasa yang tidak dirancang di seluruh dunia serta isu pengeluaran di medan gas Indonesia yang mengganggu bekalan gas asli berpaip juga telah mencetuskan kenaikan mendadak dalam harga elektrik borong.

 

Sebenarnya, tarif elektrik di Singapura telah menunjukkan peningkatan sepanjang tahun 2021 ketika seluruh dunia berdepan dengan kenaikan harga tenaga.

 

Bahan api jana elektrik melambung harga

Elektrik dijana oleh beberapa bahan api, kebanyakannya oleh LNG dan arang batu.

 

Menurut kajian Rystad Energy minggu lepas, harga arang batu kini melonjak tinggi, mencecah AS$462 satu tan pada 10 Mac 2022, meningkat daripada AS$186 satu tan pada 23 Februari dan berkemungkinan melepasi AS$500 satu tan tahun ini.

 

Walaupun kebanyakan negara Eropah dan dunia lebih menumpukan kepada bagaimana perang Rusia di Ukraine telah memberi impak terhadap minyak, gas dan, baru-baru ini, harga nikel, namun secara relatifnya amat sedikit yang ditulis mengenai kejutan harga arang batu yang melanda rantau tersebut dan merebak seperti tsunami ke seluruh dunia.

 

Rusia ialah pembekal arang batu haba terbesar di Eropah. Menurut Eurostat, tahun lepas, Rusia membekalkan negara anggota EU dengan 36 juta tan arang batu haba, mewakili 70% daripada jumlah import arang batu haba.

 

Artikel berkaitan: Harga arang batu bakal cecah AS$500 satu tan – Rystad Energy

Kos jana elektrik meningkat 45% ekoran peningkatan harga arang batu

 

Tarif elektrik Singapura telah meningkat sebanyak 23% daripada 20.76 sen/ per kilowatt jam (kWh) pada Q1 2021 kepada 25.44 sen/kWh pada Q1 2022.

 

Lebih memburukkan keadaan, pegawai berkuasa Singapura menjangkakan kadar elektrik di sini akan meningkat lebih tinggi berikutan pencerobohan berterusan Rusia ke atas Ukraine.

 

TNB

 

Seluruh dunia sama rasai kenaikan tarif

Keadaan itu tidak eksklusif kepada Singapura. Thailand juga telah menaikkan tarif elektrik sebanyak 4.6% dari Januari hingga April dengan purata 3.78 baht/kWh kerana Thailand perlu mengimport LNG yang mahal untuk penjanaan elektrik.

 

Filipina – tarif elektrik turut meningkat sebanyak 11.7% dari Januari hingga Disember 2021 didorong oleh caj penjanaan yang tinggi.

 

Hong Kong – bermula 1 Januari 2022, Hongkong Electric Company menaikkan purata bersih tarif sebanyak 7% kepada 135.3 sen/kWh, sementara CLP Power dan Castle Peak Power menaikkan purata bersih tarif sebanyak 5.8% kepada 128.9 sen/kWh. Faktor peningkatan harga bahan api.

 

Itali – Pihak berkuasa Tenaga Itali, Arera menaikkan harga elektrik sebanyak 55% dan gas sebanyak 42% bagi suku pertama 2022 dan jika tanpa campur tangan kerajaan, harga elektrik sepatutnya naik sebanyak 65%.

 

Jerman – Seramai 4.2 juta isi rumah Jerman akan menyaksikan kenaikan bil elektrik mereka pada purata 63.7% tahun ini dan 3.6 juta akan membayar bil gas sebanyak 62.3% lebih tinggi disebabkan pembekal menyalurkan kepada pelanggan kadar borong tertinggi tersebut.

 

janamanjung
Timbunan arang batu yang diguna sebagai bahan api di Stesen Janakuasa Manjung, Perak.

 

Malaysia

Begitu juga di Malaysia, Kerajaan telah meluluskan caj bahan api tambahan kepada pelanggan Komersial dan Industri (C&I), namun memberikan sokongan untuk pelanggan Domestik.

 

Surcaj, yang dikenakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang atau Imbalance Cost Pass Through (ICPT), adalah berikutan peningkatan kos bahan api sebanyak RM1.67 bilion dari Julai hingga Disember 2021, apabila purata Harga Arang Terpakai (ACP) melonjak dan mencecah AS$200 (RM838) setan dalam tempoh tersebut.

 

Untuk mengurangkan kesan kos penjanaan tambahan ini kepada pelanggan, Kerajaan telah menggunakan dana yang ada sebanyak RM715 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) untuk menyediakan bantuan yang disasarkan kepada pelanggan Domestik (dengan mengekalkan rebat 2 sen/kWj).

 

Mekanisme ICPT telah dilaksanakan dengan jayanya sejak 2015, dengan penampan daripada KWIE.

 

Pelarasan kepada kos Penjanaan Pembeli Tunggal (Single Buyer) telah diserahkan kepada pelanggan sebanyak 14 kali ICPT yang lalu sejak 2015.

 

Sektor ini telah menguruskan kesan turun naik harga bahan api dengan sangat baik melalui ICPT termasuk melindungi pelanggan domestik dengan menggunakan dana KWIE1 semasa tempoh surcaj.

 

Sejak 2015, jumlah rebat yang diberikan dan surcaj dikenakan kepada rakyat ialah:
Rebat : RM 8.5 bilion
Surcaj : RM 3.7 bilion
Perbezaan: hanya ditambah tolak 5% daripada tarif asas.

 

Di bawah Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), kos penjanaan sebenar diselaraskan melalui ICPT.

 

Surcaj tidak pernah dikenakan ke atas Pelanggan Domestik.

 

merrepak

 

Keputusan 28 Januari 2022

Kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung, bagi tempoh bermula 1 Februari ini hingga 31 Disember 2024.

 

Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan keputusan pengekalan dibuat meskipun berlaku peningkatan kos bahan api dan kos penjanaan lain, sebanyak RM1.67 bilion antara 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu, akibat kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran hingga mencecah AS$200 per tan.

 

Bagi mengekalkan kadar tarif berkenaan, kerajaan memperuntuk dana sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos berkaitan.

 

Bagaimanapun untuk pengguna bukan domestik iaitu perindustrian dan komersial (C&I) untuk tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022 dikenakan surcaj sebanyak 3.7 sen/kWj – peningkatan ketara sebanyak 85% berbanding tarif elektrik yang terakhir.

 

merrepak

 

Kebimbangan

Negara baharu sahaja cuba memulihkan diri daripada impak pandemik COVID-19. Perniagaan baharu hendak rancak setelah menghadapi kerugian besar dari tahun 2020-2021.

 

Lembah Klang, yang merupakan nadi perniagaan negara, pun baharu mengeringkan diri selepas banjir besar pada Disember. Dan Januari, tarif naik untuk sektor komersial dan industri diumumkan!

 

Kita, rakyat marhaen bimbang kos yang ditanggung sektor komersial dan industri diturunkan kepada kita. – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Together in Electric Dreams oleh Philip Oakey & Giorgio Moroder berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.