Pengharaman rokok tidak akan berjaya selagi pasaran rokok seludup masih tinggi | DagangNews.com Skip to main content

Pengharaman rokok tidak akan berjaya selagi pasaran rokok seludup masih tinggi

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

MANA-MANA negara tidak boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan pengharaman rokok dan mendoakan gejala rokok akan hapus sama sekali, apatah lagi kepada kumpulan usia khusus, kata pakar.

 

Clive Bates, pakar antarabangsa di dalam Bahaya Pengurangan Tembakau dan pemberhentian tabiat merokok, berkata, “Selagi masih ada permintaan, ia akan dibekalkan dalam apa cara sekali pun menerusi pasaran gelap”.

 

Ulasan beliau adalah merujuk kepada laporan berita mengenai rancangan Kerajaan untuk mengharamkan rokok dan vape kepada usia bawah 18 tahun bermula tahun hadapan.

 

Pada Januari 2022, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin mengumumkan hasratnya untuk melarang sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun tahun depan daripada membeli produk tembakau.

 

Cadangan itu disambut baik oleh NGO kesihatan awam yang prihatin atas kelaziman penggunaan tembakau yang tinggi di Malaysia.

 

Walaupun terdapat banyak undang-undang berkaitan anti-rokok yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan sejak 2004, bilangan perokok semakin meningkat iaitu 4.8 juta pada 2021, berbanding 4.7 juta pada 2011 seperti dilapor oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019.

 

 

merrepak
Gejala merokok dalam kalangan pelajar sekolah masih tinggi.

 

 

Selagi ada permintaan

“Pertamanya, saya tidak rasa ia akan berjaya. Lihat sahaja gejala penyalahgunaan dadah di seluruh dunia. Larangan tidak berhasil.

 

‘’Selagi ada permintaan, orang akan mencari cara untuk membekalkannya. Apa yang sesuatu pengharaman lakukan ialah mengubah cara ia disediakan, siapa yang memberi dan pada harga apa.

 

“Pencetus undang-undang ini tidak boleh secara naif percaya bahawa tiada sesiapa di bawah usia 18 tahun akan menggunakan produk-produk tersebut. Mereka harus mempertimbangkan apa akan berlaku sebenar-benarnya.

 

‘’Dalam kes ini, orang yang berusia di atas kelompok usia itu akan dengan mudah membekalkan mereka yang berusia di bawah, jadi tidak sesukar mana untuk membina pasaran haram yang besar,’’ katanya.

 

“Malah, adalah amat sulit untuk mengekalkan penguatkuasaan bila dimakan waktu. Selepas 10 tahun, ia bermakna pemeriksaan kad pengenalan akan membuktikan seorang pembeli dewasa berusia 29 tahun atau lebih.

 

‘’Sepuluh tahun seterusnya, ia memerlukan pemeriksaan kad pengenalan berkaitan umur ke atas orang yang berusia 40-an untuk membuktikan mereka berusia melebihi 30 tahun.

 

“Persoalan sekarang ialah sejauh mana kejayaan pengharaman yang dikaitkan dengan umur? Saya rasa sekitar 3% rakyat Malaysia merokok sebelum hari jadi mereka yang ke-15 tahun, walaupun had usia sekarang ialah 18 tahun,’’ kata beliau.

 

 

merrepak

 

 

Pesisir pantai yang luas mudah untuk penyeludup

Datuk Dr Yusof Nook, Presidenf E-Cure Sdn Bhd, sebuah firma perunding dalam Kawalan Jenayah Ekonomi dan bekas Ketua Polis Negeri Sarawak mencadangkan bahawa kini adalah masa yang kritikal untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas sindiket penyeludupan.

 

“Pantai Malaysia yang panjang dan luas membolehkan aktiviti penyeludupan seperti rokok bermaharajalela. Terlalu banyak jeti kecil persendirian atau Lorong tikus di sepanjang sempadan negara,’’ katanya.

 

“Malah terdapat laporan berita mengenai sindiket penyeludupan mengubah cara operasi mereka daripada menggunakan pelabuhan besar sebagai laluan utama ke kawasan pesisiran pantai sejak kerajaan menguatkuasakan inisiatif 2021 bagi membanteras penyeludupan rokok.’’

 

Dan kini dengan pembukaan semula sempadan, Datuk Dr Yusoff berpendapat lebih banyak usaha penguatkuasaan perlu dilaksanakan. Jika tidak, inisiatif 2021 akan jadi sia-sia.

 

Minggu lepas, Pasukan Polis Marin Lahad Datu berjaya menghalang cubaan menyeludup rokok kontraban bernilai RM55,200 dari sebuah bot laju di kawasan pantai Kampung Kenali. Walaubagaimanapun, tekong bot berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut apabila dihampiri Polis Marin.

 

“Memandangkan terdapat begitu banyak agensi penguatkuasaan seperti Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia yang memiliki kuasa penguatkuasaan di laut, perlu ada usaha bersepadu antara agensi tersebut bagi menangani permasalahan ini.

 

‘’Agensi penguatkuasaan kita perlu mencari kaedah untuk menambah baik operasi mereka dengan bantuan teknologi baharu. Selain itu, adalah penting untuk sentiasa berada selangkah di hadapan sindiket yang kreatif ini dengan melaksanakan taktik di luar kotak.

 

‘’Pasukan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) adalah contoh terbaik. Dengan jangkaan risiko berikutan pembukaan semula sempadan negeri dan antarabangsa, mereka telah mengguna pakai taktik operasi dan meningkatkan rondaan,’’ kata beliau.
 

 

merrepak

 

Penguatkuasaan di peringkat kedai runcit

Penguatkuasaan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan tabiat merokok di tempat makan pun suam-suam kuku. Kenapa? Kerana kekangan tenaga manusia. Jadi dengan larangan terbaharu ini, akan sama sahajalah al-kisahnya nanti. Suam-suam kuku.

 

Bila tidak cukup tenaga manusia, maka undang-undang meletakkan beban pemeriksaan ke atas peruncit.  Tetapi peruncit manakah yang akan meminta seseorang yang jelas kelihatan seperti orang dewasa untuk kad pengenalannya semasa pembelian produk tembakau?

 

Tiba-tiba seseorang yang ingin membeli sebungkus rokok kini menjadi penjenayah dan dikenakan penalti.

 

Jika dilaksanakan di sini, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang menggubal undang-undang Generation End Game.

 

Malah New Zealand, di mana idea itu dicadangkan selepas bertahun-tahun kajian dan kempen kesihatan awam, masih belum merangka undang-undang untuk Parlimennya.

 

Rakyat Malaysia berhak untuk melalui fasa kajian sebelum melaksanakan dasar  yang sama sekali asing dengan erti kebebasan menjadi rakyat Malaysia.

 

merrepak

 

Tidak perlu rushing-rushing

Tidak perlulah tergesa-gesa. Niat murni Khairy difahami. Malah dalam kebanyakan hujah, ramai akan menyokongnya.

 

Tetapi sesuatu dasar yang bersifat Generation End Game perlu mendapatkan input daripada semua pihak, termasuk implikasi daripada segi impak ekonomi seperti dihuraikan di atas iaitu risiko peningkatan pasaran rokok seludup.

 

Anda boleh menang di sini tetapi kalah semua di sana, bukan suatu dasar yang ideal untuk dipraktikkan di Malaysia. – DagangNews.com

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu  Long Cool Woman (In a Black Dress) oleh The Hollies berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.