Kerajaan perkenal Menu Keluarga Malaysia di institusi pengajian tinggi - PM Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perkenal Menu Keluarga Malaysia di institusi pengajian tinggi - PM Ismail Sabri

Gambar Facebook Universiti Malaysia Sabah
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 4 Julai - Kerajaan akan memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sama kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

 

Beliau berkata, PJKM melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pihak berkuasa tempatan serta diperluas ke institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

 

Jelasnya, program yang akan diterajui bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan ini turut dilaksanakan dalam konsep bergerak.

 

"Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat NACCOL yang dihadiri beberapa Menteri Kabinet serta wakil dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

 

Dalam mesyuarat itu, sebanyak lima kertas dibentangkan daripada tiga kementerian iaitu dari KPDNHEP, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta DOSM. - DagangNews.com