CGS-CIMB : Jika diluluskan, larangan merokok dijangka berkuat kuasa pada 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB : Jika diluluskan, larangan merokok dijangka berkuat kuasa pada 2025

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan langkah kerajaan untuk menghentikan jualan produk berkaitan tembakau dan merokok hanya akan berkuat kuasa pada 2025. 

 

Bagaimanapun, katanya, ia hanya akan direalisasikan sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 diluluskan, setelah ia dibentangkan kali pertama di Parlimen pada 27 Julai lalu.

 

Menurutnya, rang undang-rang itu akan dibentangkan dalam sesi Parlimen seterusnya yang dijadualkan pada 26 Oktober 2022. 

 

"Rang undang-undang ini bertujuan untuk mengharamkan merokok dan penjualan semua produk tembakau, termasuk e-rokok, kepada individu yang dilahirkan pada dan selepas 2007, dan untuk melarang peruncit daripada mempamerkan produk tembakau, peranti rokok serta penggantinya.

 

"Rasionalnya adalah untuk mengurangkan perokok di Malaysia kepada di bawah 5% menjelang 2040 daripada 21.3% pada 2019, menurut data daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jika sasaran 5% tidak dicapai dalam tempoh itu, negara akan kehilangan 2 juta nyawa akibat merokok, termasuk perokok pasif.

 

Ketika ini, Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus untuk kawal selia produk tembakau, e-rokok dan vape. Penguatkuasaan ketika ini adalah mengikut Seksyen 36 Akta Makanan 1983.

 

Menurut CGS-CIMB, larangan yang akan dilaksanakan itu akan memberi kesan negatif kepada pemain kedai serbaneka kerana tidak dapat mempamerkan produk tembakau dan barangan berkaitan merokok di kedai, sekali gus menjejaskan jualan tembakau.

 

Selain itu, katanya, ia akan menyebabkan penurunan jualan tembakau dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

"Berdasarkan saluran semakan kami, jualan tembakau di kedai serbaneka menyumbang kira-kira 7 hingga 35% daripada jualan setakat ini. 

 

"Namun begitu, kami menjangkakan impak ke atas margin dan keuntungan bersih adalah kecil memandangkan rokok kebiasaannya adalah jualan produk dengan margin yang rendah," jelasnya.

 

Dalam kalangan syarikat pengendali kedai serbaneka di bawah liputannya, firma itu mendapati Mynews (Mynews Holding Bhd.) paling terjejas teruk berbanding Family Mart (QL Resources Bhd) dan 7-Eleven (7-Eleven Malaysia Holdings Bhd.).

 

"Ini kerana Mynews menjana semua pendapatannya daripada perniagaan kedai serbaneka dan sumbangan jualan tembakau adalah yang tertinggi dalam kalangan pemain industri yang lain," jelasnya.

 

Bagaimanapun, menurutnya, syarikat pengendali dijangka tidak berdepan impak ketara daripada kelulusan rang undang-undang berkenaan kerana ia hanya akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 dan membabitkan perokok di bawah umur 15 tahun. 

 

"Berdasarkan analisis senstiviti kami, penurunan 10% dalam jualan tembakau dijangka mengurangkan unjuran hasil pengendali kedai serbaneka bagi 2022 hingga 2024 antara 0.1 hingga 3.5%," katanya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor peruncitan dengan pilihan utamanya, saham QL Resources. - DagangNews.com