Perkasa integriti dalam kalangan masyarakat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 1 December 2023

Perkasa Integriti dalam Kalangan Masyarakat

 

 

INTEGRITI dalam perspektif Islam adalah merujuk kepada salah satu daripada pelbagai cabang keimanan.

 

Perbahasan integriti dalam Islam sering dikaitkan dengan konteks amanah dan itqan (bersungguh-sungguh) dalam melaksanakan pekerjaan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.” (Surah al-Mukminun: 8)

 

Ayat di atas menunjukkan dua ciri orang beriman iaitu memelihara amanah dan menunaikan janji yang telah diberikan dengan sebaiknya sama ada antara seorang hamba dengan Allah SWT atau sesama manusia yang telah diwajibkan dalam Islam.

 

Sewajarnya, orang yang beriman tidak mengkhianati amanah dan mengingkari janji terutama dengan Allah SWT sama ada melanggar larangan-Nya atau mengabaikan perintah-Nya.


 

irsyad

 


Sementara, dalam konteks hubungan sesama manusia, segala perkara yang diamanahkan dan janji yang diungkapkan mestilah dilaksanakan dengan sempurna sama ada dalam hubungan kekeluargaan, bermasyarakat dan bernegara.

 

Selain itu, terdapat juga hadis yang sangat menekankan sifat amanah dan itqan dalam bekerja. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu pekerjaan, dia melakukan dengan itqan.” (Riwayat al-Tabarani)

 

Hadis di atas menunjukkan bahawa Islam menekankan supaya umatnya sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dengan amanah, rajin dan memegang nilai kebaikan yang tinggi termasuk mengamalkan integriti pada setiap masa dan setiap kerja.

 

Seterusnya, menyoroti kisah Nabi Yusuf AS yang terkenal dengan contoh nilai integriti dalam melaksanakan tugasan perancangan ekonomi dan kewangan negara Mesir ketika itu.

 

Nabi Yusuf AS telah menawarkan diri kepada Raja Mesir untuk menjawat jawatan bendahara negara kerana yakin dengan amanah dan kewibawaan diri dalam menjalankan tugas tersebut.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Yusuf berkata: Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.” (Surah Yusuf: 55)

 

Pengajaran dan ibrah daripada kisah Nabi Yusuf AS ini adalah bersedia berkhidmat bukan disebabkan mengharapkan jawatan mahupun kedudukan, tetapi demi untuk menjaga kemaslahatan dan untuk memastikan pentadbiran negara dapat ditadbir dengan baik berlandaskan al-Quran, al-Sunnah serta Qudwah Hasanah.


 

irsyad

 


Nabi Yusuf AS sentiasa menitikberatkan elemen amanah dan ilmu dalam mengurus serta menjaga khazanah negara. Pastinya, ini merupakan perkara penting yang perlu diamati dalam konteks masyarakat, negara dan dunia pada hari ini.

 

Justeru itu, seluruh masyarakat diseru meningkatkan dan membudayakan nilai integriti bagi membentuk sebuah negara Malaysia yang mempunyai nilai-nilai ketamadunan yang tinggi.

 

Malaysia telah menjadikan 5 November setiap tahun sebagai Bulan Integriti Nasional (BIN) yang merupakan manifestasi usaha untuk menzahirkan komitmen kerajaan dalam membudayakan integriti dan tata kelola di semua sektor awam termasuk korporat.

 

Institut Integriti Malaysia (IIM) telah diberikan mandat untuk membangunkan Pelan Integriti baharu sesuai dengan peranan dan fungsi dalam usaha memastikan integriti menjadi budaya masyarakat Malaysia.

 

Gerakan pengukuhan dan pemantapan integriti dalam organisasi perlulah dilaksanakan secara berterusan dan diterapkan dalam pelbagai lapisan masyarakat.


 

irsyad

 


Penglibatan dan sinergi daripada semua pihak penting bagi memastikan ekosistem integriti terus berkembang dan dapat dilaksanakan dengan baik. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags