Pengamalan Zakat Fitrah di Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 22 March 2024

Pengamalan Zakat Fitrah di Malaysia

 

 

 

SELAIN melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan, terdapat pelbagai lagi amalan yang dianjurkan untuk dilaksanakan seperti menunaikan zakat fitrah,  solat tarawih, berzikir, tadarus al-Quran, bersedekah dan sebagainya.

 

Kewajiban menunaikan zakat fitrah wajib dilaksanakan oleh setiap masyarakat Islam sebelum tibanya Aidilfitri.

 

Definisi zakat fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim setelah berakhirnya bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

 

Sejarah kefarduan zakat telah bermula pada dua hari sebelum hari raya pada tahun kedua hijrah, iaitu bersamaan dengan tahun yang sama mula difardukan kewajiban puasa di bulan Ramadan.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, iaitu segantang kurma atau segantang gandum (pada bulan Ramadan) atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan. ." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Allah SWT turut telah menjelaskan antara sifat orang yang bertakwa ialah bersedia membelanjakan harta di jalan Allah SWT sama ada dalam keadaan senang mahupun susah. 

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang -orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah." (Surah Ali 'Imran: 133-134).

 

Terdapat pelbagai hikmah zakat fitrah antaranya ialah menampung kekurangan serta ketidak sempurnaan yang terdapat pada ibadah di sepanjang Ramadan.

 

 

irsyad
Gambar hiasan oleh أخٌ‌في‌الله 

 

 

Seterusnya, boleh mencegah golongan fakir dan miskin daripada meminta-minta pada hari raya supaya dapat memberi keselesaan kepada golongan fakir dan miskin ketika menyambut Aidilfitri.

 

Selain itu, boleh mengeratkan hubungan kasih sayang sesama masyarakat Islam antara golongan yang berharta dengan golongan yang memerlukan bantuan.

 

Selanjutnya, hikmah zakat fitrah adalah manifestasi kesyukuran seorang hamba atau sebagai tanda menzahirkan kesyukuran di atas nikmat kurniaan Allah SWT kerana telah memberi peluang untuk menyempurnakan puasa Ramadan dan bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan rezki dan sebagainya.

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-60 yang bersidang pada 23 Oktober 2003 telah memutuskan mengenai zakat fitrah adalah wajib bagi setiap umat Islam sekiranya cukup syarat-syarat wajib zakat fitrah iaitu:

 

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya daripada keperluan tanggungannya pada malam atau pagi hari raya.

 

2. Anak yang lahir sebelum jatuh pada hari terakhir bulan Ramadan dan hidup selepas matahari terbenam.

 

3. Memeluk Islam sebelum matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.

 

4. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan.

 

Secara jelas dan tegas dinyatakan bahawa kewajiban zakat fitrah ini meliputi semua lapisan masyarakat Islam sama ada yang baru dilahirkan atau pun yang sudah tua.

 

Selanjutnya, kewajiban mengeluarkan zakat fitrah juga tidaklah hanya bagi orang kaya dan berkemampuan sahaja, bahkan diwajibkan kepada semua orang yang tidak dikategorikan sebagai kaya.

 

 

irsyad

 

 

Namun, apabila menjelang Aidilfitri turut mempunyai kelebihan makanan di samping keperluan untuk diri dan keluarga.

 

Zakat fitrah perlu ditunaikan sebelum masyarakat Islam keluar ke tempat solat sunat Aidilfitri sebagaimana yang telah diperintahkan.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan sia-sia (al-laghw) dan ucapan yang kotor (al-rafas), dan juga sebagai hidangan bagi orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat sunat Aidilfitri, zakatnya diterima. Namun, bagi sesiapa yang menunaikan sesudah solat sunat Aidilfitri, nilainya hanya sebagai salah satu sedekah daripada sedekah-sedekah (tidak dikira sebagai zakat fitrah)." (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

 

Hukum mengeluarkan atau menunaikan zakat fitrah dalam tempoh sepanjang Ramadan adalah harus dan dibenarkan oleh  Islam.

 

Namun, terdapat kepelbagaian pandangan ulama berkaitan waktu wajib. Menurut Imam Syafie dan Imam Malik berpandangan bahawa menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan. 

 

Sementara Imam Abu Hanifah pula berpandangan bahawa menjadi wajib setelah terbit fajar satu Syawal. Waktu yang paling afdal untuk mengeluarkan zakat fitrah adalah pada pagi sebelum solat sunat Aidilfitri. Sekiranya dikhuatiri terlupa, eloklah dibayar beberapa hari sebelum menjelang hari perayaan.

 

Pengeluaran zakat fitrah pada zaman Nabi SAW telah dilaksanakan dengan makanan asasi seperti kurma atau barli.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Kami mengeluarkan zakat fitrah berupa segantang makanan atau segantang barli atau segantang kurma atau segantang keju atau segantang kismis." (Riwayat al-Bukhari)

 

Hukum asal zakat fitrah ialah mengeluarkan makanan ruji atau asasi. Kewajiban zakat fitrah menurut mazhab Syafie adalah berdasarkan kepada makanan asasi yang menjadi (makanan asasi majoriti) sesuatu penduduk.

 

Zakat fitrah di Malaysia suatu ketika dahulu dikeluarkan dengan menggunakan beras kerana sebagai makanan asasi masyarakat Islam di Malaysia.

 

 

irsyad

 

 

Namun ulama  kontemporari telah melakukan 'qiyas' kepada 'qimah' (nilai), sehingga diaplikasikan oleh seluruh institusi zakat atau Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia.

 

Pandangan ini adalah berdasarkan pendapat Mazhab Hanafi yang dilihat relevan pada masa kini dan boleh memberi maslahah kepada pemberi zakat dan penerima zakat.

 

Demikianlah konsep dan pengamalan zakat fitrah yang telah diwajibkan oleh Allah SWT kepada masyarakat Islam. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags