Muhasabah Tahun 2023 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 29 December 2023

Muhasabah Tahun 2023

 

 

SETAHUN mengandungi 365 hari atau 8760 jam atau 525,600 minit yang dilalui oleh setiap insan di dunia ini bakal berakhir tidak lama lagi untuk meninggalkan tahun 2023 yang mempunyai pelbagai catatan pengalaman pahit dan manis.

 

Sebaiknya, setiap pencapaian kejayaan atau kegagalan yang diperoleh sepanjang tahun 2023 perlu dilakukan muhasabah untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

 

Muhasabah adalah istilah dalam dalam bahasa Arab yang merujuk kepada tindakan refleksi, introspeksi, dan evaluasi diri yang perlu dilakukan oleh setiap individu di setiap penghujung tahun.

 

Umar bin Khattab RA telah menyatakan: “Hisablah diri kalian sebelum dihisab. Timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang dan berhiaslah untuk menghadapi hari penampakan yang agung.”

 

Nasihat dan ungkapan di atas menjadi sangat penting untuk diingat kembali sekaligus menjadi bahan intropeksi untuk diri sendiri selama satu tahun yang bakal berlalu dengan digantikan tahun baru beberapa hari lagi akan datang.

 

 

iktisad

 

 

Sementara, Bilal Ahmad al-Bistani al-Rifa‘i al-Husaini, seorang sufi terkemuka dalam salah satu kitabnya menyatakan bahawa sudah seharusnya umat Islam melakukan introspeksi sepanjang umurnya, maka seharusnya berfikir tentang perkara yang akan dilakukan pada pagi, siang, petang hingga ke malam hari, katanya:

 

“Maka berfikir (renunglah) atas apa yang kamu kerjakan, apabila engkau menemukan ketaatan (dalam pekerjaan itu), maka bersyukurlah kepada Allah, dan apabila engkau menemukan maksiat (di dalamnya) maka celalah dirimu.

 

Muhasabah bukan sekadar proses koreksi diri, tetapi juga merupakan suatu bentuk ibadah yang dilakukan dengan sengaja untuk mengevaluasi atau menilai tindakan dan perbuatan yang telah dilakukan selama setahun penuh.

 

Tujuan utama melakukan muhasabah di akhir tahun adalah untuk melakukan penambahbaikan terhadap amal perbuatan yang telah dilakukan untuk mengesan kelebihan dan kekurangan.

 

Selain itu, muhasabah bukan sekadar merenung atau menilai, tetapi juga mengkoreksi diri supaya memperbaiki kesalahan yang mungkin terjadi dan merintis hidup ke arah yang lebih baik.

 

Terdapat pelbagai aspek yang perlu dinilai oleh seseorang inidividu dalam muhasabah akhir tahun.

 

1. Pelaksanaan ibadah

Setiap muslim perlu menilai menilai kualiti ibadah masing-masing berkaitan amalan solat, puasa, zakat dan sebagainya dalam tahun tersebut. Seterusnya mengatur strategi untuk diperbaiki terhadap kekurangan yang berlaku.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah al-Dzariyat: 56)

 

Seterusnya, Nabi SAW berpesan supaya mengamalkan doa kekal dalam melakukan kebaikan melalui hadis yang bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu dan melakukan ibadah yang baik kepada-Mu.” (Riwayat Imam Ahmad)

 

 

irsyad

 

 

2. Perlakuan dan akhlak seharian

Seseorang perlu menilai perlakuan seharian samada menepati nilai dan akhlak Islam atau sebaliknya. Tindakan segera terhadap perubahan akhlak mahmudah perlu dilakukan untuk menghapus tabiat akhlak mazmumah.

 

3. Pemeliharaan hubungan sosial

Penilaian terhadap hubungan sosial dalam konteks keluarga dan masyarakat samada telah menjalin hubungan yang baik dengan sesama atau ada konflik yang perlu diselesaikan.

 

4. Pencapaian peribadi

Kepuasan diri juga tertakluk kepada pencapaian kejayaan peribadi seperti yang telah disasarkan masing-masing. Oleh itu, penilaian terhadap pencapaian dapat membantu untuk perancangan pada masa akan datang.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda kamu sebelum datangnya masa tua, masa sihat sebelum datangnya masa sakit, masa kaya sebelum datangnya masa miskin, masa lapang sebelum hadirnya masa sibuk dan masa hidup sebelum datangnya masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah aspek yang perlu diberi perhatian supaya penambahbaikan boleh dilaksanakan pada tahun baru yang akan datang untuk kebaikan dan kejayaan di dunia dan akhirat.

 

Sewajarnya, masyarakat Islam bukan sekadar menanti dan menyambut kedatangan tahun baru sahaja, tetapi perlu mengambil peluang untuk melakukan muhasahah tentang pencapaian dan kekurangan diri. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags