Jahiliyah menurut neraca al-Quran | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 5 January 2024

Jahiliyah menurut neraca al-Quran

 

 

PERKATAAN ‘jahiliyah’ merujuk keadaan masyarakat Arab sebelum diutus Nabi SAW untuk menggambarkan kebodohan serta pelbagai perkara buruk yang jauh dari pedoman ketuhanan dan menodai nilai kemanusiaan.

 

Allah SWT telah menisbahkan empat perkara kepada perkataan jahiliyah di dalam al-Quran yang perlu dihindari dan dijauhi dari melakukan dalam kehidupan seharian.

 

1. Prasangka jahiliyah (dzan jahiliyah)

Sangka buruk kepada Allah SWT yang merupakan lambang kerosakan hati dan Aqidah dalam kalangan masyarakat Islam.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “…sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?…” (Surah Ali ‘Imran: 154)

 

Ayat di atas menceritakan berkaitan peristiwa perang Uhud ketika pasukan kaum muslimin mula terdesak kerana menerima tekanan dari hadapan dan belakang.

 

 

uhud
Bukit Uhud yang menjadi medan Perang Uhud

 

 

Namun, Allah SWT memberikan ketenangan kepada para Sahabat sehingga dibuat mengantuk.

 

Sebaliknya, berbeza dengan orang munafik yang terlibat dalam pertempuran tersebut berasa sangat cemas dan takut sehingga muncul tanggapan tidak benar dan negatif bahawa Allah SWT berdusta, Nabi SAW memberi janji palsu dan agama Islam akan musnah.

 

2. Kesombongan atau fanatisme jahiliyah (hamiyyah al-jahiliyah)

Cinta dan benci kerana golongan tertentu iaitu memberikan pembelaan berasaskan kepentingan golongan sehingga rela menolak kebenaran demi golongan.

 

Fanatisme terhadap sesuatu yang tidak maksum, adalah sumber terbesar manusia menolak kebenaran.

 

Fanatik terhadap golongan atau rela mati demi golongan, walaupun jelas salah adalah termasuk karakter atau ciri orang kafir.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat-takwa dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya.” (Surah al-Fath: 26)

 

Ayat di atas menceritakan tentang perjanjian Hudaibiyah yang merupakan awal kemenangan bagi kaum muslimin.

 

 

hudaibiyah
Runtuhan bangunan Masjidil Huidaibiyah

 


Meskipun terdapat banyak perkara ganjil yang dilakukan orang musyrikin ketika perjanjian Hudaibiyah seperti tidak mahu menuliskan lafaz ‘basmallah’ dalam klausa perjanjian dan menolak penggunaan kalimat ‘Muhammad Rasulullah’, sedangkan itu adalah kebenaran tetapi ditolak kerana fanatik jahiliyah yang membuatkan membenci kebenaran.

 

Oleh itu, fanatisme jahiliyah menyebabkan golongan musyrikin bersikap sombong dan menolak setiap kebenaran yang bertentangan dengan prinsip suku dan golongannya.

 

Sementara, orang mukmin pula dididik oleh Allah SWT agar fanatisme dibina atas dasar membela kebenaran yang diajarkan dalam Islam untuk membela kalimah tauhid yang disebut dalam ayat tersebut dengan kalimah ‘taqwa’.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menghilangkan dari hati kalian sifat kesombongan jahiliyah dan kebanggaan terhadap nenek moyang. Manusia hanya ada dua jenis, mukmin bertaqwa atau orang bejat yang celaka. Semua manusia adalah anak Adam dan Adam diciptakan dari tanah. (Riwayat Ahmad, no.8970; Abu Daud, no.5118)

 

3. Setiap aturan melanggar syariat yang akan mengakibatkan kerosakan dalam masyarakat (hukum al-jahiliyah)

Sekiranya manusia dibiarkan membuat aturan sendiri dengan akal dan daya fikir yang terbatas, pastinya akan wujud kezaliman dan ketempangan.

 

Oleh itu, manusia memerlukan aturan syariat supaya lebih dikendali dari dibiarkan tanpa bimbingan dan panduan. Manusia diciptakan oleh Allah SWT, maka sudah tentu pencipta mengetahui kekurangan dan kelemahan yang wujud pada manusia.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah mereka mahu mencari hukum jahiliyah, siapa yang lebih baik hukumnya bagi orang yang yakin? (Surah al-Maidah: 50)

 

Ayat di atas menunjukkan Allah SWT menyindir dan menegur manusia yang meninggalkan aturan yang telah ditetapkan dengan melebihkan atau mengutamakan aturan yang dibuat manusia sendiri, sedangkan terdapat banyak pelanggaran terhadap hukum Allah.

 

 

irsyad

 

4. Perhiasan jahiliyah (tabarruj al-jahiliyah)

Mempamerkan keindahan tubuh di tengah masyarakat yang sekaligus menandakan lambang kerosakan wanita.

 

Sekiranya para wanita dibiarkan bebas tanpa batasan, tidak dijaga kehormatan serta harga diri, mendedahkan aurat di khalayak ramai dan sebagainya, maka maksiat dan gejala negatif akan berleluasa dalam kalangan masyarakat.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu, dan dirikanlah solat.” (Surah al-Ahzab: 33)

 

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menjelaskan maksud ‘tabarruj jahiliyah’ adalah wanita keluar rumah sambil berjalan dengan menampakkan kecantikan dan keelokan tubuh badan di hadapan lelaki.

 

Sementara suami di zaman jahiliyah terkenal kurang sifat cemburu.

 

Demikianlah, empat jenis ‘jahiliyah’ yang sering mewarnai pemikiran dan corak kehidupan manusia dari dahulu sehingga kini yang perlu dielakkan dan dibanteras.- DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags