Hukum jihad menjadi fardu ain kepada orang beriman bila musuh ceroboh tanah air umat Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 15 December 2023

Hukum jihad menjadi fardu ain kepada orang beriman bila musuh ceroboh tanah air umat Islam

 

 

 

KRISIS yang melanda Palestin-Israel seharusnya membuka mata semua masyarakat dunia tanpa mengira agama mahu pun bangsa. Kebebasan rakyat Palestin diragut dan berhadapan dengan ancaman kehilangan nyawa.

 

Namun, semangat keberanian dan perjuangan rakyat Palestin untuk bangkit membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman rejim Zionis Israel tidak pernah luntur dan hilang dalam diri dan fikiran.

 

Secara tidak langsung, detik-detik sukar yang berlaku di Palestin kini menjadi penyuntik semangat jihad umat Islam khususnya.

 

Walaupun tidak mampu untuk berada di bumi Palestin secara fizikal, namun tidak menjadi halangan untuk menyatakan solidariti dan sokongan dalam pelbagai aspek.


 

irsyad

 


Terdapat ayat al-Quran yang menjelaskan secara umum bahawa Allah SWT telah menganjurkan dan menyeru seluruh orang yang beriman di sepanjang zaman untuk berjihad di jalan-Nya.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apakah yang menghalang kalian untuk tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk membela) orang-orang yang lemah baik daripada kalangan lelaki, mahupun kalangan perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir Musyrik) berlaku zalim, dan jadikanlah bagi kami pelindung di sisi-Mu, dan jadikanlah bagi kami penolong di sisi-Mu (yang membela kami dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman itu, mereka berperang pada jalan Allah; dan sebaliknya orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kalian akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (Surah al-Nisa’: 75-76)

 

Walaupun, sebab penurunan ‘asbab al-nuzul’ ayat di atas adalah berkait dengan peristiwa yang berlaku pada awal Islam ketika zaman Nabi SAW berada di Mekah, namun para ulama menegaskan bahawa petunjuk daripada ayat tersebut menunjukkan hukum yang mewajibkan jihad berdasarkan kepada sebab yang sama dan hukum wajib tetap berterusan apabila wujudnya ancaman daripada pihak musuh tanpa mengira lokasi dan masa.

 

Para ulama menegaskan bahawa hukum jihad adalah fardu kifayah, kemudian berubah menjadi fardu ain ke atas setiap individu dalam kalangan orang yang beriman, apabila musuh sudah menceroboh ke dalam tanah air umat Islam.

 

Walaupun terdapat rakyat Palestin yang bangkit berjihad dengan senjata, namun tetap masih memerlukan bantuan dan sokongan daripada seluruh umat Islam, sama ada dari negara Arab yang berhampiran atau negara berjauhan di seluruh dunia.

 

Rakyat Palestin telah berusaha menunaikan jihad sebagaimana yang telah diwajibkan oleh Allah SWT dengan berada di barisan paling hadapan dan sanggup terdedah kepada risiko serangan musuh yang dilancarkan secara bertubi-tubi.


 

irsyad
Masjidil al-Aqsa adalah tempat suci ketiga di dalam Islam, kini dicengkam rejim Israel. Gambar nour tayeh 

 


Semangat rakyat Palestin tidak pernah luntur untuk terus berjuang menghadapi kezaliman dengan gagah berani sehingga sanggup mengorbankan nyawa seolah-olah sedang menunggu giliran mati syahid.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tatkala orang-orang yang beriman melihat tentera al-Ahzab, berkatalah mereka: ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberikan sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri (ketundukan kepada Allah). Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar dengan menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang sedang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) walaupun sedikit.” (Surah al-Ahzab: 22-23)

 

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT telah menyeru kepada umat Islam wajib bangkit untuk berjihad menghadapi musuh yang telah menceroboh tanah air dan menyerang saudara seagama.

 

Allah SWT telah mewajibkan umat Islam agar turut serta berjihad dalam pelbagai bentuk mengikut kemampuan masing-masing seperti menyumbang dari sudut kewangan, menghantar tenaga pasukan perubatan dan sebagainya.

 

‘Jihad fi sabilillah’ yang paling besar ialah jihad mempertahankan Islam, umat dan tanah airnya. Allah SWT telah meluaskan pemahaman terhadap lapangan jihad dengan penurunan beberapa ayat-ayat al-Quran. 

 

Terdapat pelbagai cara untuk rakyat Malaysia, turut berjihad walaupun tidak berada di medan peperangan. Contohnya, boleh menyumbangkan bantuan dari segi kewangan kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang mengutip sumbangan untuk rakyat Palestin.


 

irsyad
Walaupun ada gencatan senjata, sekali sekala tembakan meriam Israel menghujani bumi Gaza di Palestin.

 


Seterusnya, jadikan media sosial sebagai medan untuk ‘berperang’ menyebarkan maklumat dan kesedaran kepada masyarakat sekeliling tentang isu yang sedang melanda umat Islam di Palestin.

 

Sinergi pelbagai pihak untuk meningkatkan kesedaran ini amat penting, kerana masih ramai umat Islam yang lalai dan tidak cakna akan perjuangan saudara seagama di Palestin bukan sahaja mempertahankan tanah air bahkan turut berjuang mempertahankan Masjid al-Aqsa. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags