10 hal perbandingan Zakat dan Cukai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 25 August 2023

10 hal perbandingan Zakat dan Cukai

 

 

 

SISTEM zakat di dalam Islam mempunyai perbezaan dengan sistem cukai yang dilaksanakan oleh pemerintah.

 

Pembayaran zakat juga boleh menyebabkan pengurangan pembayaran cukai secara sah dan patuh di sisi undang-undang.

 

Terdapat pelbagai perbezaan zakat dan cukai yang boleh dilihat dari pelbagai aspek untuk dijadikan kefahaman yang lebih baik dan tepat oleh semua masyarakat di Malaysia.

 

1. Perbezaan ketetapan atau sumber arahan

Zakat adalah ketetapan daripada Allah SWT. Zakat merupakan rukun Islam ketiga dan wajib bagi golongan yang telah cukup syarat-syarat untuk dikenakan zakat.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Islam dibangun atas lima (perkara), Dua kalimah ‘syahadah’, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haji, dan puasa Ramadan.” (Riwayat al-Bukhari, no.8)

 

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Taubah: 103)

 

Manakala sistem cukai pula adalah ketetapan daripada pihak kerajaan atau pemerintah sesebuah negara. Cukai pula adalah suatu peraturan atau bentuk bayaran yang dikenakan oleh pihak kerajaan untuk perbelanjaan negara ke atas individu atau syarikat yang mempunyai pendapatan.

 

Arahan cukai pendapatan yang pertama diperkenalkan di Persekutuan Tanah Melayu pada 1947 adalah di bawah Ordinan Cukai Pendapatan 1947. Ordinan Cukai Pendapatan yang pertama diperkenalkan di Sabah pada 1957 dan di Sarawak pula pada 1961.

 

Penyelarasan telah dilakukan pada tahun 1967 melalui Parlimen memperkenalkan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang berkuatkuasa di seluruh Malaysia mulai 1 Januari 1968.


 

irsyad

 


2. Perbezaan sasaran kewajiban atau golongan yang diwajibkan

Zakat dikenakan atau diwajibkan ke atas orang Islam sahaja. Manakala cukai pula dikenakan kepada orang Islam dan bukan Islam pada masa yang sama.

 

3. Perbezaan kategori atau kedudukan situasi kewangan pembayar

Zakat hanya dikenakan kepada orang yang kaya dan berharta sahaja seperti zakat harta, zakat emas, perak, zakat perniagaan, zakat pertanian dan zakat fitrah.

 

Manakala di dalam sistem cukai, orang kaya dan orang miskin tetap dikenakan cukai melalui pelbagai jenis cukai; cukai pendapatan, cukai pintu, cukai jalan, cukai perniagaan dan sebagainya.

 

4. Perbezaan kutipan dan pengagihan

Zakat dikutip daripada orang kaya untuk diagihkan kembali kepada lapan golongan asnaf yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya (penguatkuasa yang mengumpulkan zakat), dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir yang keputusan dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan yang datangnya dari Allah, dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Taubah: 60)

 

Manakala cukai pula dikutip daripada rakyat dan digunakan oleh negara untuk pembangunan negara seperti membuat pembangunan infrastruktur, membuat jalan raya, membayar gaji, urusan keselamatan dan sebagainya.

 

5. Perbezaan syarat

Zakat diwajibkan ke atas orang yang berharta apabila cukup ‘haul’ (tempoh) dan ‘nisab’ (kadar harta) tanpa sebarang pengecualian.  Manakala sistem cukai pula ialah orang kaya dan berharta mempunyai banyak cara tertentu untuk mengelak cukai secara sah.


 

irsyad

 


6. Perbezaan kadar kenaan

Kadar zakat ditetapkan 2.5% seperti yang telah dinyatakan oleh Allah SWT secara jelas dan tepat dan tidak boleh diubah. Sedangkan kadar cukai akan ditentukan oleh pihak berkuasa dan berubah mengikut keadaan.

 

7. Perbezaan menggunakan manfaat

Pembayar zakat tidak boleh menggunakan wang zakat yang telah dikeluarkan. Namun, cukai yang dibayar tersebut berkemungkinan akan menikmati kemudahan dari bayaran cukai yang telah ditunaikan.

 

8. Perbezaan jenis harta

Zakat hanya dikenakan bagi kekayaan yang berkembang (productive wealth). Manakala, cukai dikenakan di atas perbelanjaan digunakan (consumption expenditure).

 

9. Perbezaan jaminan

Zakat adalah satu jaminan hak kepada golongan miskin ke atas harta golongan kaya. Manakala, cukai adalah hak sesebuah negara untuk mengutip dari rakyat bagi keperluan negara.

 

10. Perbezaan pemindahan tanggungan

Perpindahan tanggungan pelaksanaan tidak terdapat dalam sistem zakat. Manakala, cukai boleh dipindahkan kepada pembeli atau pembekal.


 

irsyad

 


Demikianlah, perbezaan dan perbandingan terhadap sistem zakat dan sistem cukai yang boleh difahami dari pelbagai aspek tertentu seperti yang telah dilaksanakan di Malaysia. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

irsyad

 

Portfolio Tags