KUALA LUMPUR 26 Julai - Di sebalik kebimbangan kos sara hidup yang tinggi akibat inflasi makanan dan kenaikan kadar faedah, AmInvestment Bank Bhd. percaya, ia bukan penghalang kepada pengguna untuk terus mendapatkan kenderaan baharu.
Menurut penganalisisnya, Muhammad Afif Zulkaplly, daripada menghentikan pembelian, adalah lebih berbaloi sekiranya mereka mencari jenama yang dapat menawarkan nilai yang lebih baik dan boleh dijual semula.
Katanya, ini disebabkan pengguna kekurangan alternatif, selain masih bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian sebagai pengangkutan utama di Malaysia.
"Pelancaran model baharu yang lebih menawan juga dijangka terus menarik minat pembeli.
"Selain itu, harga bahan mentah yang semakin berkurangan baru-baru ini, dapat membantu pengeluar kenderaan mengelakkan kenaikan harga produk mereka, dan ini juga akan menjadi tarikan kepada bakal pembeli," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengekalkan unjuran TIV tahun ini pada 610,000 unit, lebih rendah berbanding sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Minggu lalu, MAA menyemak naik unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) kenderaan kepada 630,000 unit tahun ini, 30,000 unit lebih tinggi berbanding sasaran awal 600,000 unit yang ditetapkan awal tahun ini.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata semakan naik TIV tahun ini dilakukan bersandarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi Malaysia yang berterusan selepas merekodkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2022.
Daripada jumlah unjuran baharu MAA tahun ini, kenderaan penumpang dijangka menyumbang 567,000 unit, manakala kenderaan komersial pula 63,000 unit.
Muhammad Afif berkata, berdasarkan kepada pesanan tertunggak daripada pengeluar utama, tempoh menunggu dijangka memakan masa antara 7 hingga 8 bulan, lebih lama berbanding tempoh sebelum pandemik antara 2 hingga 3 bulan.
"Anggaran kami adalah berdasarkan kapasiti pengeluaran yang kembali ke tahap sebelum pandemik kerana isu kekurangan cip dijangka berkurangan pada separuh kedua 2022.
"Dalam kalangan pengeluar utama, Perodua mempunyai pesanan tertunggak paling banyak, dianggarkan nilai jualan antara 8 hingga 9 bulan," katanya.
Menurutnya, pengeluar kenderaan global termasuk Volvo, Hyundai Motor Co, Kia Corporation dan Volkswagen melihat krisis bekalan cip semakin berkurangan dan dijangka bertambah baik pada separuh kedua ini.
Di Malaysia, katanya, Perodua telah berjaya menyelesaikan isu tersebut selepas mendapatkannya daripada pembekal alternatif manakala Proton pula melihat peningkatan beransur-ansur dalam stok bergerak pantasnya, yang sebelum ini menjejaskan pengeluaran dan perkhidmatan selepas jualan.
"Ini akan membantu melancarkan penghantaran apabila syarikat automotif tergesa-gesa untuk memenuhi pesanan yang tertunggak sebelum tamat tempoh pendaftaran pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST)," jelasnya.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor automotif dengan pilihan utamanya ialah Bermaz Auto Bhd. dan MBM Resources Bhd. - DagangNews.com








