Suka cakap berdegar-degar, rakyat tak faham `apa ko cakap’ | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 19 January 2024

Suka cakap berdegar-degar, rakyat tak faham `apa ko cakap’

 

 

 

POLEMIK politik yang melanda tatkala negara sedang berdepan krisis struktur ekonomi kini cukup meresahkan rakyat.

 

Pergelutan kuasa yang masih berlaku antara parti politik bukanlah perkara asing kerana ia menjadi darah daging semula jadi yang mengalir dalam diri kebanyakan ahli politik.

 

Jika diteliti semenjak negara ini mencapai kemerdekaan banyak dasar dasar besar kerajaan yang mereka kemukakan bersifat mudah untuk difahami dan ini akhirnya memudahkan untuk dilaksana dan dicapai.

 

Antara dasar kerajaan termasuk Dasar Ekonomi Baru, Dasar Penswastaan, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Eknomi Baru (NEM) dan disulami dengan beberapa Rancangan Jangka Pendek dan Rancangan Jangka Panjang kerajaan.

 

Ini akan diikuti oleh kajian-kajian separuh penggal untuk memastikan sesuatu kerangka dasar negara itu berjalan di atas landasan yang tepat.


 

waionuiomata

 


Sebuah dasar atau gagasan yang besar perlulah jelas dan bukan bersifat retorik yang melibatkan penggunaan terlalu banyak falsafah falsafah dari tokoh-tokoh besar dunia tetapi akhirnya gagal difahami oleh khalayak awam.

 

Kejayaan yang dicipta dalam kebanyakan dasar kerajaan sebelum ini membabitkan usaha sama pelbagai pihak termasuklah rakyat awam sebagi penerima manfaat, sektor awam sebagai pelaksana dan swasta sebagai pemain industri.

 

Kejayaan sesuatu dasar besar yang dicipta tidak datang bergolek. Ini memerlukan penelitian yang jelas dari segi hala tuju, pengorbanan dari segi wang, masa dan tenaga bagi memenuhi aspirasi negara untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan dan mudah difahami.

 

Sementara itu retorik pula ialah satu kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan.

 

Retorik merupakan seni menggunakan laras bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar.

 

Faktor menarik dan memujuk ini dapat dikaitkan dengan pengaruh politik yang semakin melemah dalam kalangan individu dan ini menjadikan kebanyakkan pemimpin hari ini semakin mementingkan retorik di dalam penggubalan dasar termasuk juga di dalam ucapan seharian mereka.

 

Pada kebiasaanya retorik yang menjurus kepada pemerian pemikiran ini hadir ketika seseorang pemimpin itu ingin melakukan penjelasan atau huraian berkaitan sesuatu idea.

 

Retorik ini bermatlamat untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar.


 

infiniti

 


Di antara ciri-ciri pemerian ialah perlu dilaksanakan secara objektif, tepat dan jelas. Contohnya memberi gambaran secara realistik dan ini perlulah disokong dengan pembuktian yang  berdasarkan fakta yang konkrit.

 

Kedua, bahasa yang digunakan seharusnya adalah jelas dan tersusun serta tepat kepada tahap pemikiran golongan sasar.

 

Struktur perancangan sesuatu dasar besar itu juga perlu mempunyai pendahuluan, huraian dan kesimpulan dan yang ketiga teknik ini bersifat deskriptif dan informative.

 

Deskriptif bermaksud maklumat yang disampaikan secara huraian manakala informatif pula adalah maklumat yang disampaikan secara pemberitahuan dan melalui fakta dan data yang kukuh.

 

Dari semua gabungan kretiria di atas maka retorik tadi dapatlah diterjemahkan kepada satu wawasan yang unggul dan tidak lah dilihat hanya sebagai sebuah retorik untuk mengindahkan laras bahasa pertuturan semata-mata.

 

Merapatkan Jurang Antara Retorik dan Realiti

Untuk merapatkan jurang antara retorik dan realiti, para pemimpin dan profesional mesti bersedia untuk mengambil inisiatif yang diperlukan:

 

Pemimpin perlu bersikap telus dan tulen

Pemimpin harus jujur ​​tentang pengalaman dan cabaran mereka sendiri. Dengan mengakui perjuangan yang mereka hadapi dalam melaksanakan idea atau strategi baharu, mereka menunjukkan komitmen yang tulen terhadap pembelajaran dan pertumbuhan.

 

Pemimpin perlu fokus pada matlamat jangka panjang

Seorang pemimpin harus mengutamakan kejayaan jangka panjang dan kemampanan berbanding keuntungan jangka pendek. Dengan berbuat demikian, mereka mewujudkan persekitaran yang menyokong inovasi, percubaan dan peningkatan berterusan.

 

Pemimpin harus memecahkan birokrasi

Mereka harus berusaha untuk mewujudkan budaya fleksibiliti dan kebolehsuaian. Ini melibatkan memecahkan halangan birokrasi yang menghalang kemajuan dan memperkasakan masyarakat di semua peringkat untuk menyumbang kepada proses membuat keputusan.

 

Menyediakan sumber dan sistem sokongan

Untuk membolehkan masyarakat  mempraktikkan apa yang pemimpin rancangkan, institusi mesti bersedia untuk melabur dalam sumber dan sokongan. Ini termasuk menyediakan pembiayaan, latihan dan bimbingan yang mencukupi untuk inisiatif baharu, serta memastikan pekerja mempunyai alatan dan pengetahuan yang diperlukan untuk melaksanakan idea mereka.

 

Sentiasa mengukur dan menilai kemajuan

Faktor terpenting adalah menilai secara berkala kejayaan strategi dan inisiatif baharu adalah penting untuk memastikan mendapat impak yang diingini.


 

infiniti

 


Akhirnya, usaha usaha ini dapat merapatkan jurang antara retorik dan realiti memerlukan gabungan akauntabiliti peribadi, perubahan institusi dan komitmen untuk kejayaan jangka panjang dan bukan hanya satu omongan kosong. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

 

 

 

 

Portfolio Tags