Penerbitan akademik ala boria jejas kualiti penulisan akademik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 9 February 2024

Penerbitan akademik ala boria jejas kualiti penulisan akademik

 

 

BARU-BARU ini banyak diperkatakan tentang kualiti penulisan akademik. Benarkah dalam dunia akademik, selain isu plagiarisme dan pelanggaran hak cipta, amalan 'menumpang nama' merupakan satu penyakit yang semakin membarah?

 

Ada yang mengatakan bahawa budaya menumpang nama pada sesuatu penerbitan berlaku apabila penulis utama membawa masuk nama segelintir ahli akademik lain yang tidak berungsi atau berungsi pada kadar amat minimum seperti hanya menyumbangkan bayaran penerbitan.

 

Dengan cara memasukkan nama mereka dalam penyelidikan atau penulisan ilmiah berbentuk jurnal, rencana akhbar dan seumpamanya mereka ini akan menerima merit walau pun tidak setinggi penulis utama.

 

Merit ini kemudiannya akan menjadi sebahagian markah untuk kenaikan pangkat. Hal ini menyebabkan terdapat segelintir ahli akademik membuat jalan pintas dengan 'menumpang' nama dalam kajian atau tulisan yang dihasilkan rakan sekerja atau pelajar.

 

Malah dalam dunia akademik satu masa dahulu, istilah menumpang nama ini turut popular dalam kalangan ahli akademik sebagai 'boncengan gratis' yang dipetik daripada bahasa Indonesia.

 

Secara ilmiahnya, seseorang tanpa mengira ahli akademik atau pelajar tidak boleh meletakkan namanya dalam sesuatu hasil penulisan jika mereka tidak menyumbang apa-apa atau sumbangannya tidak melibatkan lansung dalam hal hal penyelidikan.

 

Ia adalah satu pembohongan. Apa lagi sekiranya penulisan itu di luar ruang lingkup kepakarannya.

 

Perbuatan itu seumpama merujuk kepada seni nyanyian boria yang menampilkan seorang penyanyi utama dan yang lain merupakan penyanyi latar.


 

infiniti

 


Seseorang seorang yang mempunyai nama didalam penulisan kajian itu seolah olah sama-sama bertungkus-lumus menghasilkan penulisan walhal situasi berkenaan tidak berlaku.

 

Apalagi apabila topik penulisan itu jauh sekali dengan bidang kepakaran orang yang menumpang tadi.

 

Secara fungsi akademik, jika seseorang ahli akademik atau pelajar mempunyai sumbangan dalam sesuatu penyelidikan maka seharusnya ia perlu dilihat apakah bentuk fungsi akademik yang diberikan.

 

Mungkin ada yang menyumbang kepakaran dari segi metodologi, kepakaran bahasa, analisa dan sebagainya.

 

Sumbangan dikira tidak mencukupi jika ahli akademik sekadar menyalurkan wang geran penyelidikan atau membekalkan keperluan penyelidikan seperti memberi kebenaran menggunakan komputer, pengkalan data berbayar atau sekadar mengemukakan idea dalam bentuk lisan.

 

Begitu juga jika sekadar melakukan suntingan atau sekadar mengajar bagaimana menulis rujukan kepada seseorang pelajar.

 

Amalan begini merupakan amalan yang tidak sihat dan semakin berleluasa apabila sistem penarafan (ranking) dijadikan ukuran dominasi kecemerlangan sesebuah universiti. Penerbitan ahli akademik menjadi satu daripada kriteria kepada petunjuk prestasi kedudukan itu.

 

Amalan ini perlu dibendung agar tidak menjadi amalan atau budaya yang akan merosakkan kualiti penerbitan ilmiah di semua universiti.


 

iktisad

 


Bilangan penulisan tidak seharusnya dijadikan satu daripada ukuran penting bagi menentukan kenaikan pangkat seseorang pensyarah tetapi kualiti dan pencapaian sesuatu penulisan atau penerbitan itu yang perlu diberikan perhatian atau keutamaan.

 

Amalan ini boleh menjadi penghalang kepada kesuburan serta melemahkan pertumbuhan kesarjanaan ahli akademik tempatan dan peluang mereka menadi ahli akademik di persada dunia.

 

Dari segi etika penyelidikan, secara jelas ahli akademik yang tidak berkaitan ataupun tidak membuat apa-apa kerja penyelidikan sebaliknya hanya 'menumpangkan' nama mereka boleh dikatakan perbuatan tidak sihat.

 

Ada sesetengah penerbitan yang hanya disertakan 1,000 patah perkataan tetapi penulisnya mencecah lebih dari lima individu.

 

Yang lebih malang lagi bidang kepakaran mereka ini tiada kena mengena dalam bidang atau tema dibincangkan bahkan langsung tidak pernah duduk bersama-sama memeras idea untuk penerbitan tersebut, Jadi di mana letaknya nilai kesarjanaan seseorang ilmuan itu?

 

Buat masa ini amalan 'menumpang nama' atau budaya penulisan akademik ala boria ini masih lagi cenderung membabitkan kes-kes terpencil kerana peratusannya masih kecil berbanding keseluruhan penerbitan.

 

Bagaimanapun langkah langkah pencegahan yang tegas perlu disegerakan melalui pengenalan dan penambahbaikan polisi atau peraturan sedia ada.

 

Penguatkuasaan serta sesi perbahasan ilmiah ke atas sesusatu penulisan sebelum diterbitkan adalah menjadi keperluan dalam proses penerbitan.


 

iktisad

 


Jika tiada usaha atau inisiatif daripada pihak pengurusan universiti atau fakulti untuk meningkatkan Tindakan penambahbaikan dibimbangi perkara ini mampu menjadi lebih buruk di masa hadapan.

 

Kita selalunya difahamkan dalam konteks ekosistem sesebuah universiti polisi berkaitan penerbitan beretika daripada hasilan kajian peringkat prasiswazah dan pascasiswazah sudah sekian lama dipraktiskan dan dikawal selia dengan baik secara berintegriti.

 

Para ahli akademik  juga perlu ada sikap bertanggungjawab, jujur dan telus dalam penerbitan agar menggambarkan kesarjanaan mereka.

 

Sebagai ahli akademik yang menjaga nilai kesarjanaan kita, maka hasilkanlah penerbitan yang beretika dan berintegriti untuk diri, rakan sepasukan dan pelajar seliaan masing masing untuk sama sama menjadi pengawal kepada kualiti keilmuan itu. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

Portfolio Tags