Menghayati Rukun Negara dalam Kewangan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 5 September 2023

MENGHAYATI RUKUN NEGARA DALAM KEWANGAN ISLAM

 

 

 

SEMPENA dengan Hari Kemerdekaan yang ke-66, penulis ingin berkongsi pandangan tentang ketaatan kita sebagai rakyat Malaysia untuk menghayati Lima Rukun Negara dalam aspek kewangan Islam tanahair.

 

Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV.

 

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.

 

Rukun Negara menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk demi untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak dan akhirnya membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

 

Ia juga menggariskan Lima Prinsip Rukun Negara yang berikut:-

 

  1. Kepercayaan Kepada Tuhan
  2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
  3. Keluhuran Perlembagaan
  4. Kedaulatan Undang-undang
  5. Kesopanan dan Kesusilaan

 

 

Iktisad

 


Berbicara tentang kelima-lima prinsip ini dalam kewangan Islam, antara satu perkara penting yang rakyat kena tahu ialah usaha untuk mencapai maqasid (objektif) al-Syariah.

 

Maqasid al-Syariah, sering diterjemahkan sebagai Objektif Undang-undang Islam. Ia adalah satu set prinsip yang memandu tafsiran dalam pelaksanaan ajaran Islam.

 

Objektif ini menyediakan rangka kerja untuk memahami tujuan asas undang-undang Islam dan aplikasinya dalam pelbagai konteks. Ia menekankan usaha untuk menghalang segala aktiviti yang memudaratkan kepada seluruh manusia dan menyokong sebarang usaha ke arah kebajikan kepada rakyat.

 

Dalam kewangan Islam di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Bank Negara Malaysia (BNM) telah diberi kuasa untuk mengeluarkan garis panduan asas kepada perjalanan sistem kewangan Islam negara.

 

Antara polisi kewangan Islam yang menjadi undang-undang adalah Shariah Governance Policy Document dan Shariah Standard Document yang mesti diikuti oleh seluruh institusi kewangan Islam negara. Segala unsur maqasid al-Syariah ini terkandung dalam dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh MPS BNM.



 

irsyad

 


Kepentingan maqasid al-Syariah terletak pada keupayaannya untuk mengharmonikan dan menyesuaikan ajaran Islam dalam kewangan Islam di bidang fekah, dengan perubahan keadaan individu, masyarakat, dan zaman. Kepentingan daruriyat, hajjiyat dan tahsiniyyat contohnya merupakan dasar dalam menentukan hukum dalam operasi kewangan Islam.

 

Antara kepentingan maqasid al-Syariah ini adalah ia membantu memastikan nilai-nilai asas Islam, seperti keadilan, kesaksamaan, belas kasihan, dan maruah manusia, ditegakkan dalam semua aspek kehidupan.

 

Dengan memberi tumpuan kepada matlamat yang menyeluruh ini, intipati ajaran Islam terpelihara seperti menekankan keharaman riba, ketelusan apabila bermuamalat dalam perbankan dan menolak segala unsur judi.

 

Ia juga mampu membolehkan fleksibiliti dalam mentafsir dan menggunakan prinsip Islam untuk menangani isu kontemporari sambil mengekalkan keutuhan akidah serta menyediakan rangka kerja untuk mengimbangi kepentingan individu dan masyarakat yang lebih luas.

 

Ia memastikan hak dan kesejahteraan individu sama ada Muslim atau bukan Muslim dilindungi di samping mempertimbangkan kebajikan masyarakat secara keseluruhan seperti penyediaan fasiliti pembiayaan sosial kepada rakyat.

 

Maqasid al-Syariah juga bertujuan untuk menghapuskan penindasan, eksploitasi, dan ketidaksamaan serta menggalakkan pengagihan sumber dan peluang yang saksama serta ia membantu mencegah tafsiran dan tindakan ekstremis.

 

Maqasid al-Syariah juga berfungsi sebagai faktor penyatuan dalam badan perundangan Islam yang pelbagai. Ia membantu para cendekiawan Islam (mujtahid) menyelaraskan pendapat yang berbeza dengan mengenal pasti objektif dan prinsip bersama dalam proses ijtihad ketika mengeluarkan pendapat dan fatwa dalam kewangan Islam.

 

 

Iktisad

 

 

Penulis juga percaya Maqasid al-Syariah dapat memperkukuh dimensi etika dan moral Islam. Dalam sistem kewangan negara, kelakuan dan tata kelola perbankan individu dan masyarakat mestilah diwarnai dengan sikap tanggungjawab mereka terhadap Tuhan, sesama manusia, dan alam sekitar.

 

Kewangan Islam harus mempromosikan kesejahteraan individu dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk akidah, akal, keturunan, harta, dan maruah mereka melalui pemahaman yang lebih mendalam tentang prinsip asas kewangan mereka.

 

Rakyat juga perlu menyokong inisiatif yang menggalakkan kesejahteraan sosial, ekonomi dan alam sekitar selain daripada menyemai rasa patriotisme dengan menunjukkan rasa cinta kepada negara anda melalui sokongan kewangan Islam yang kini ianya menjadi salah satu kebanggaan negara di seluruh dunia. Malaysia dihormati sebagai sebuah negara yang pakar dalam kewangan Islam dan sering dirujuk pelbagai negara.

 

Penulis juga kempunan agar setiap rakyat Malaysia berusaha untuk membangunkan profesionalisme peribadi dan menyumbang kepada kemajuan negara dengan meneruskan pendidikan, pembangunan kemahiran dan kecemerlangan profesional. Memahami ilmu kewangan Islam adalah satu daripadanya.

 

Dengan ada ilmu, maka rakyat lebih mudah membezakan apa yang baik dan yang tidak baik serta mampu pula menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan menjadi warga kerja atau usahawan yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan nusa.

 

Dari sudut perpaduan dan keharmonian, rakyat tanpa mengira latar belakang, etnik atau kepercayaan mereka haruslah mengambil bahagian dalam aktiviti antara agama atau antara budaya untuk membina jambatan antara masyarakat yang pelbagai.

 

Kewangan Islam dibina untuk seluruh rakyat Malaysia. Ia adalah sistem kewangan yang halal, boleh digunakan oleh seluruh manusia.

 

Salam Kemerdekaan!

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

parafrasa

 

Portfolio Tags