UBI: Model Ekonomi Alternatif Kurangkan Kemiskinan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 20 September 2023

UBI: Model Ekonomi Alternatif Kurangkan Kemiskinan

 

 

 

ISU kemiskinan dan jurang pendapatan yang melebar adalah masalah yang berterusan dan rumit. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

 

Berdasarkan data Bank Dunia, dianggarkan sebanyak 659 juta orang di seluruh dunia hidup dalam kemiskinan yang melampau – hidup dengan kurang daripada AS$2.15 sehari (setakat Mac 2023).

 

Model ekonomi konvensional semakin dipersoalkan dalam menangani kemiskinan dan jurang pendapatan yang melebar. Ini kerana semakin hari, semakin ramai tersepit akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak ditambah dengan nilai mata wang yang merosot.

 

Sebagai tindak balas terhadap isu ini, beberapa model ekonomi baru muncul sebagai alternatif yang dilihat lebih berdaya untuk menangani masalah ini serta menawarkan perspektif baharu bagaimana kita dari sekarang boleh mewujudkan masa hadapan yang lebih adil, mampan, dan makmur.

 

Antara model ekonomi alternatif yang menarik untuk diketengahkan sebagai jalan  penyelesaian yang berpotensi untuk menangani pelbagai cabaran ekonomi dan sosial terutamanya  dalam usaha untuk mengurangkan kemiskinan dan menaikkan taraf hidup asas semua orang, adalah UBI.


 

Universal Basic Income

 


Pendapatan Asas Sejagat (UBI)

Pendapatan Asas Sejagat atau lebih dikenali sebagai Universal Basic Income (UBI) adalah dasar sosial yang melibatkan semua orang tanpa mengira pengkelasan pendapatan dengan bayaran tunai tetap tanpa syarat daripada kerajaan.

 

Bayaran ini biasanya dibuat secara berkala, seperti bulanan atau suku tahunan. Ia diberikan kepada setiap individu yang layak, tanpa mengira jumlah pendapatan, status pekerjaan, atau faktor demografi lain.

 

Idea disebalik UBI ini adalah untuk menyediakan jaring keselamatan kewangan bagi memastikan “setiap orang mempunyai wang yang cukup untuk memenuhi keperluan asas, seperti makanan, tempat tinggal, dan penjagaan kesihatan" serta untuk memberi kebebasan kepada setiap orang bagi meneruskan pekerjaan  yang lebih bermakna buat mereka.

 

Prinsip utama UBI

Prinsip utama UBI adalah kesejagatan, tanpa syarat, dan keteraturan.

 

  1. Kesejagatan adalah salah satu prinsip asas UBI. Ini bermaksud bahawa setiap orang layak tanpa mengira apa jua kedudukan mereka untuk menerima bayaran bantuan dari kerajaan.
    Melalui prinsip kesejagatan, UBI berpotensi untuk mengurangkan stigma yang “ada” berkaitan dengan penerima bantuan kerajaan.

    Jika dilihat, pada masa sekarang, terdapat sesetengah orang enggan menerima bantuan dari kerajaan walaupun mereka layak tetapi mereka enggan disebabkan stigma sosial yang melekat pada penerima bantuan kerajaan.

    Melalui UBI, semua stigma ini akan terhapus kerana semua orang akan menerima pembayaran tunai tetap dari kerajaan. Ini dapat mengelakkan keciciran bantuan dan memberi lebih faedah kepada individu yang memerlukan.

 

  1. Pembayaran UBI mesti disediakan tanpa mengenakan apa-apa syarat. Ini termasuk tanpa mengira jumlah pendapatan, status pekerjaan, faktor demografi atau kriteria lain yang mesti dipenuhi oleh penerima.

    Pemberian bantuan tanpa syarat ini berfungsi sebagai jaring keselamatan kewangan untuk semua orang, yang dilihat berpontensi untuk membantu sesiapa sahaja pada bila-bila masa, sama ada kerana kehilangan pekerjaan, penyakit, atau kemerosotan ekonomi, UBI memastikan bahawa tidak ada siapa pun yang akan terperosok ke dalam kemiskinan melampau atau menghadapi kemiskinan. Ia juga menegakkan prinsip bahawa keselamatan kewangan adalah hak, bukan keistimewaan.

 

  1. Pembayaran UBI hendaklah dibuat berkala tetapi kerap, selalunya secara bulanan atau suku tahunan. Keteraturan ini berperanan dalam memastikan bahawa setiap orang mempunyai sumber pendapatan yang boleh dipercayai dan stabil untuk menampung perbelanjaan kehidupan asas mereka.

    Dengan pendapatan tetap melalui  UBI, individu dan keluarga yang terlibat mampu membuat perancangan kewangan yang lebih berkesan.

    Mereka juga boleh memperuntukkan dana bagi keperluan jangka masa pendek seperti untuk perbelanjaan barangan runcit disamping dapat menyimpan untuk matlamat jangka masa panjang seperti kecemasan, pendidikan mahupun pelaburan.

 

 

ubi

 

 

Bagaimana UBI Mampu Mengurangkan Kemiskinan?

Berbeza dengan banyak program bantuan sedia ada yang penuh dengan karenah birokrasi seperti syarat kelayakan yang kadangkala tak masuk akal, perlu mengisi borang yang tebal serta mengemukakan semua bukti. UBI adalah sebaliknya. Ia datang dengan pendekatan yang menyegarkan.

 

Salah satu aspek menarik yang terdapat pada UBI adalah keupayaannya untuk menghapuskan stigma yang sering wujud dalam program bantuan sedia ada. Jika anda adalah seorang warganegara atau pemastautin, ini bermaksud, anda layak secara automatik tanpa perlu mengisi apa-apa borang mahupun melayan sebarang karenah birokrasi.

 

Proses yang diperkemas ini sebenarnya dapat mengurangkan kos pentadbiran serta dapat memastikan bahawa mereka yang memerlukan bantuan serta sokongan tidak lagi terperangkap dalam karenah birokrasi. Ia juga menghapuskan pengkelasan pendapatan sedia ada di mana tiada lagi dikriminasi  terhadap mereka yang mempunyai pendapatan lebih tinggi.

 

Tidak seperti program bantuan sedia ada yang kurang keterangkuman, UBI meluaskan jangkauannya kepada kumpulan yang kurang mendapat pendedahan – yang benar-benar memerlukan bantuan dan sokongan.

 

Dengan merangkumi semua orang, UBI mewujudkan jaring keselamatan kewangan yang tidak akan mendikriminasikan mana-mana individu walau apa pun status mereka. Ini adalah formula yang menjadikan UBI berbeza dari program bantuan sedia ada.

 

Selain itu, UBI memberikan kuasa autonomi kepada penerima bayaran bantuan ini. Sebagai contoh, jika anda adalah penerima bayaran bantuan ini.  

 

Anda bebas memutuskan bagaimana untuk memperuntukkan bantuan yang diterima, sama ada untuk menampung keperluan asas, pendidikan, melabur, atau mengejar minat peribadi anda sendiri. Anda mempunyai 100% autonomi dan tiada kawalan kewangan dengan bantuan yang diterima!

 

eks

 


Melalui pendekatan sejagat UBI, ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan jurang ketidaksamaan pendapatan.

 

Dengan memberikan jumlah yang sama kepada setiap individu yang layak, tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka, ia meletakkan mereka dalam permainan ekonomi yang sama. Pengurangan ketidaksamaan pendapatan ini dapat membina sebuah masyarakat yang lebih adil, mampan dan makmur.

 

Akhir sekali, berkaitan dengan kestabilan kewangan. Apabila seseorang individu itu mencapai kestabilan kewangan, ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada individu itu sendiri tetapi juga menjadi penyumbang kepada kestabilan ekonomi.

 

Apabila setiap individu mempunyai pendapatan tetap, mereka lebih cenderung untuk mengekalkan tabiat perbelanjaan mereka, walaupun semasa keadaan ekonomi yang mencabar.

 

Ini juga dapat mengurangkan keadaan ketidakstabilan kewangan yang menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada pinjaman atau kad kredit dengan faedah yang tinggi untuk memenuhi keperluan asas mereka.

 

Tambahan, membantu individu dari terperangkap dalam beban kewangan dan mencapai keselamatan kewangan yang lebih besar. Secara tidak langsung sebenarnya, kestabilan kewangan individu ini dapat membantu mencegah kemerosotan ekonomi serta mewujudkan ekonomi yang lebih berdaya tahan.

 

 

parafrasa

 


Ini Adalah Masa Terbaik

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita keluar dari model ekonomi konvesional dan mempertimbangkan model ekonomi alternatif seperti UBI. Berapa lama lagi isu kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan ini akan berlarutan? Keselematan kewangan adalah hak dan bukanlah keistimewaan buat mana-mana individu! Isyarat telah diberikan, apa lagi yang kita tunggu?

 

Adakah kita akan menerima anjakan paradigma yang ditawarkan oleh UBI, atau adakah kita akan terus menerus duduk dalam kemiskinan dan ketidaksamaan ini? Pilihan di tangan kita, dan ia akan menentukan masa hadapan yang kita bakal wariskan kepada generasi akan datang. - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN 

dagangnews

 

Portfolio Tags