Memahami fungsi Analisis Teknikal: Mengapa ia Penting? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 27 September 2023

Memahami fungsi Analisis Teknikal: Mengapa ia Penting?

 

 

DALAM perdagangan dan pelaburan saham, tidak dinafikan analisis memainkan peranan yang penting dalam menentukan keuntungan serta kerugian.

 

Tetapi masih ramai yang mengambil jalan pintas dengan melabur dan berdagang saham tanpa mengetahui asas dan bagaimana setiap komponen berhubung kait untuk mendapatkan keuntungan dan mengehadkan kerugian.

 

Satu daripada analisis yang popular dan menjadi panduan para pedagang saham adalah analisis teknikal. Analisis teknikal merupakan disiplin yang menggunakan statistik, iaitu data harga dan jumlah dagangan untuk meramal pergerakan pasaran pada masa hadapan.

 

Asas Analisis Teknikal

Analisis teknikal dibina berdasarkan statistik pergerakan harga dan jumlah dagangan dengan kepercayaan bahawa pergerakan harga masa lalu dapat memberikan pandangan berharga mengenai pergerakan harga masa hadapan.

 

Pada dasarnya, ia mempunyai tiga prinsip utama:

 

  1. Penganalisis teknikal percaya bahawa semua maklumat yang ada, termasuk faktor ekonomi, politik, dan psikologi, sudah tercermin dalam harga saham. Oleh itu, analisis teknikal hanya tertumpu pada tindakan harga.

 

  1. Harga bergerak dalam tiga arah berlainan iaitu menaik (bullish), menurun (bearish), atau mendatar (range-bound). Matlamat analisis teknikal adalah untuk mengenal pasti dan mendapat keuntungan dari pergerakan harga ini.

 

  1. Sejarah cenderung untuk berulang. Prinsip ini berdasarkan pada idea bahawa corak pergerakan harga dan tingkah laku harga tertentu cenderung untuk berulang disebabkan psikologi manusia dan dinamik pasaran. Dengan mengenal pasti corak pergerakan harga, penganalisis boleh membuat ramalan pergerakan harga pada masa hadapan dengan tepat.

 

 

Eksponen

 


Komponen Penting Analisis Teknikal

Berikut merupakan komponen utama yang membentuk dunia analisis teknikal:

 

  1. Carta Pergerakan Harga

Ini adalah kanvas analisis teknikal. Ia secara visual menggambarkan pergerakan harga saham dari masa ke masa. Ada beberapa jenis carta yang digunakan dan yang paling biasa adalah Line Chart, Bar Chart dan Candlestick Chart. Candlestick Chart adalah sangat popular kerana keupayaannya untuk menyampaikan maklumat terperinci mengenai pergerakan harga dan juga sentimen pasaran.

 

  1. Petunjuk Teknikal

Petunjuk teknikal adalah berasaskan pengiraan matematik yang diterapkan pada data harga atau jumlah dagangan untuk memberikan pandangan tambahan mengenai corak pergerakan harga serta momentum pasaran. Antara petunjuk teknikal yang popular adalah SMA, MACD, RSI dan Stochastic Oscillator.

 

  1. Corak Harga

Ia merupakan formasi khusus yang muncul pada carta pergerakan harga dan digunakan untuk meramalkan pergerakan harga masa hadapan. Terdapat banyak corak harga antaranya, Head and Shoulders, Triangles, dan Flag.

 

  1. Tahap Sokongan dan Rintangan

Tahap sokongan ialah titik harga di mana saham cenderung untuk mencari minat belian dan kemudiannya melantun lebih tinggi, manakala tahap rintangan ialah di mana tekanan jualan biasanya muncul. Tahap ini membantu peniaga mengenal pasti titik jual beli yang berpotensi.

 

  1. Garis Corak Pergerakan Harga

Melukis garis corak pergerakan harga merupakan salah satu aspek penting dalam analisis teknikal. Ini kerana pergerakan harga sama ada menaik atau menurun tidak berlaku dalam pergerakan yang melurus. Sebagai contoh, pergerakan menaik dicirikan oleh paras tertinggi yang lebih tinggi dan rendah yang lebih tinggi, manakala pergerakan menurun mempunyai paras tertinggi yang lebih rendah dan rendah yang lebih rendah. Garis corak pergerakan harga digunakan untuk menggambarkan kekuatan corak pergerakan harga semasa.


 

Eksponen

 


Kuasa Analisis Teknikal

Analisis teknikal menawarkan pelbagai faedah dan aplikasi untuk pedagang dan pelabur. Antaranya ialah:

 

  1. Salah satu kegunaan utama adalah untuk menentukan arah corak pergerakan harga yang sedang berlaku. Menentukan arah pergerakan harga adalah penting kerana pedagang perlu mengikut arah pergerakan semasa bukan menentangnya.

 

  1. Pedagang menggunakan analisis teknikal untuk mengenal pasti masa yang tepat untuk berdagang. Sebagai contoh, mereka akan mula membeli saham apabila harga naik dan menembusi tahap rintangan, manakala mereka mula menjual saham apabila harga jatuh di bawah tahap sokongan.

 

  1. Analisis Teknikal berguna dalam pengurusan risiko dan secara tidak langsung ia dapat mendisiplinkan pedagang. Dengan mengenal pasti stop-loss, ia membantu untuk mengehadkan kerugian serta memberi pandangan tentang potensi nisbah risiko dan pulangan perdagangan.

 

  1. Melalui teknik pengecaman corak harga, ia menjadi kaedah yang kuat untuk meramalkan pergerakan harga pada masa hadapan. Pedagang perlu mengenal pasti corak harga seperti Flag bagi meramal pergerakan harga pada masa hadapan.

 

  1. Analisis teknikal juga berkait dengan psikologi dan emosi peserta pasaran. Sebagai contoh, keadaan overbought dan oversold yang ditunjukkan oleh penunjuk teknikal seperti RSI boleh meramalkan pembalikan harga yang bakal berlaku.

 

Meletakkan Semuanya Bersama-Sama

Berikut adalah gambaran bagaimana analisis teknikal boleh diaplikasikan dalam berdagang saham.

 

Andaikan anda adalah pedagang yang berminat untuk membeli saham Syarikat X. Langkah pertama dimulakan dengan menganalisis carta harga. Berdasarkan pemerhatian selepas melukis garis corak pergerakan harga, saham telah berada dalam pergerakan menaik yang jelas selama beberapa bulan, dengan disokong oleh pembentukan tahap tinggi dan rendah yang lebih tinggi secara konsisten.

 

Sebaik mendapat kepastian tentang corak pergerakan harga, anda perlu mengenal pasti tahap rintangan yang telah berulang kali didekati tetapi gagal ditembusi. Tahap ini berpontensi dan berfungsi sebagai titik beli. Di sini anda boleh mula membeli dengan meletakkan pesanan belian sedikit di atas tahap rintangan ini, dan menjangkakan sekiranya tahap rintangan berjaya ditembusi, ia cenderung menyebabkan kenaikan harga yang ketara.

 

Untuk pengurusan risiko, anda boleh menetapkan stop-loss tepat di bawah tahap sokongan, yang bertentangan dengan tahap rintangan. Ini bertujuan untuk mengehadkan kerugian jika perdagangan tidak berjalan seperti yang dirancang.

 

Anda juga perlu merujuk kepada petunjuk teknikal untuk mengukuhkan keputusan yang dibuat. Tidak terhenti di situ, pemantauan berterusan kedudukan perdagangan diperlukan. Di sini  anda perlu memberi perhatian kepada sebarang corak harga yang berpotensi, perubahan dalam kekuatan arah corak pergerakan harga untuk melaraskan dan menyesuaikan strategi yang diperlukan.


 

Eksponen

 


Tidak Mudah Sebenarnya

Dengan memahami prinsip asas analisis teknikal dan pelbagai komponennya, sebagai pedagang, anda memperoleh keupayaan untuk membuat keputusan perdagangan termaklum, mengurus risiko dengan berkesan dan berpotensi mendapat keuntungan daripada pasaran saham.

 

Walaupun analisis teknikal kedengaran seperti mudah, tetapi sebenarnya tidak!  Untuk menguasai analisis teknikal, ia memerlukan latihan, pengalaman, dan juga pemahaman yang kukuh bukan sahaja asas analisis teknikal tetapi juga mengenai pasaran tertentu yang anda dagangkan!    - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags