Bajet 2024: Komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 11 October 2023

Bajet 2024: Komitmen Kerajaan Terhadap Kesejahteraan Rakyat

 

 

 

Bajet 2024 akan menjadi ujian untuk kerajaan MADANI dalam menyusun strategi ekonomi masa hadapan. Walaupun penuh dengan jangkaan dan harapan, masih banyak tanda tanya tentang pembaharuan yang akan ditekankan dalam belanjawan ini.

 

Harapannya adalah agar belanjawan kali ini akan dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan rakyat, serta memperkuatkan ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidakpastian global. Dalam melaksanakan belanjawan ini, kerajaan perlu mengambil pendekatan yang seimbang di antara memenuhi keperluan rakyat dan dalam memastikan kestabilan fiskal jangka panjang negara.


 

bajet2024

 


Dasar Gaji Progresif, Ringankan Kos Sara Hidup

Dalam menyediakan Bajet 2024, kerajaan dijangka akan menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat dengan memberi tumpuan utama pada penurunan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan. Walaupun penurunan kos sara hidup mungkin kelihatan sebagai 'janji kosong' kerana ia tampak mustahil untuk dilaksanakan.

 

Oleh itu, peningkatan pendapatan melalui  pengenalan Dasar Gaji Progresif telah menjadi elemen penting dalam memenuhi harapan rakyat.

 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan bahawa dasar sistem gaji progresif telah diluluskan secara prinsip oleh Kabinet dan akan dibentangkan dalam Bajet 2024. Sistem ini dijangka akan dilaksanakan pada April atau Mei tahun hadapan.

 

Walau bagaimanapun, terdapat persoalan yang penting: Adakah dasar gaji progresif ini mampan dalam jangka panjang? Kelestarian dan kesan jangka panjang dasar ini merupakan faktor penting yang perlu diambil kira. Ini termasuk menilai keberkesanan dasar dalam merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan taraf hidup rakyat, serta kesan dasar ini terhadap pelbagai sektor ekonomi dan industri di Malaysia.

 

Namun, adalah penting untuk negara belajar dari pengalaman negara-negara lain yang telah melaksanakan dasar serupa. Sebagai contoh, Model Gaji Progresif Singapura telah menyumbang kepada penurunan ketidakseimbangan pendapatan dan telah membantu pekerja berpendapatan rendah mencapai taraf kehidupan yang lebih tinggi. Sementara itu, di Jerman, Model Gaji Progresif menggabungkan subsidi gaji dan program latihan vokasional. Ia bukan sahaja meningkatkan gaji pekerja tetapi juga meningkatkan produktiviti tenaga kerja secara keseluruhan.

 

Percukaian dan Kemungkinan Pengenalan Semula GST

Institut Percukaian Malaysia (CTIM) menjangkakan bahawa mungkin tidak ada pemotongan cukai untuk individu atau syarikat pada Bajet 2024. Sebaliknya, mereka mengharapkan lebih banyak perincian mengenai mekanisme Cukai Barangan Mewah (LGT) dan Cukai Keuntungan Modal (CGT).

 

Bagi individu, CTIM menjangkakan kadar cukai tetap sama, dengan tumpuan untuk memperluaskan pelepasan cukai. Ini mungkin melibatkan penggabungan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Persaraan Swasta (PRS) untuk potongan cukai tunggal.

 

 

parafrasa

 

 

Bagi syarikat, CTIM meramalkan kerajaan akan mengekalkan kadar cukai sedia ada, tetapi mereka mungkin memperkenalkan lebih banyak insentif khusus sektor, terutamanya dalam industri hijau dan berteknologi tinggi.

 

Mengenai pengenalan Semula Cukai Barang dan perkhidmatan (GST), kemungkinan besar kerajaan akan mempertimbangkan kembali GST sebagai salah satu cara untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada hasil sedia ada.

 

Penting untuk dijelaskan bahawa kerajaan seharusnya mengkaji struktur GST yang baru secara teliti, termasuk dalam mempertimbangkan kadar yang lebih rendah, seperti sekitar 4%. Kadar yang lebih rendah ini akan membantu mengurangkan tekanan kewangan terhadap rakyat sambil mempertahankan sumber pendapatan yang diperlukan oleh kerajaan.

 

Di sini kerajaan perlu merancang sebaiknya dengan lebih teliti untuk meminimumkan kesan GST terhadap golongan isi rumah berpendapatan rendah serta barangan dan perkhidmatan penting. Selain itu, mekanisme pengumpulan dan langkah-langkah yang cekap bagi mencegah pengelakan cukai harus menjadi keutamaan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan GST.

 

Suara Rakyat dan Pembaharuan Subsidi

Suara rakyat telah menjadi tumpuan utama dalam proses  menyediakan Bajet 2024. Misalnya, tinjauan pendapat awam #SuaraMalaysia, yang dijalankan oleh Astro AWANI, telah memberikan pandangan berharga mengenai keperluan dan perspektif rakyat Malaysia, terutamanya mengenai kos sara hidup.

 

Hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa 76% responden mengutamakan barangan keperluan yang berpatutan, menekankan pentingnya menangani kenaikan harga keperluan asas seperti gula, minyak, telur, dan ayam. Selain itu, 17% responden meminta kerajaan untuk menekankan bantuan tunai dalam bajet, menekankan keperluan untuk sokongan kewangan yang lebih langsung bagi mereka yang menghadapi kesukaran kewangan.

 

Selebihnya, 7% responden menyokong usaha kerajaan untuk memperuntukkan subsidi dalam bajet, menunjukkan bahawa subsidi tetap menjadi alat penting dalam menangani kenaikan harga dan membantu rakyat dalam mengatasi tekanan kewangan. Dengan menggabungkan data dari tinjauan ini, kita dapat melihat dengan lebih jelas apa yang diharapkan rakyat daripada Bajet 2024 dan bagaimana kerajaan boleh merangka dasar yang lebih berkesan untuk memenuhi keperluan mereka.

 

 

irsyad

 

 

Perbincangan baru-baru ini mengenai pembaharuan subsidi, seperti yang dibayangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mendapat perhatian. Pembaharuan ini bertujuan untuk menyusun semula subsidi dengan lebih baik, terutamanya untuk barangan penting seperti petrol, diesel, gas memasak, dan elektrik, yang membentuk lebih daripada 90% perbelanjaan subsidi.

 

Walaupun pembaharuan subsidi adalah penting untuk kestabilan fiskal, adalah sama penting untuk menangani kebimbangan kos sara hidup serta-merta dan meneroka pendekatan kreatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dalam jangka panjang. Jelas, suara rakyat tetap menjadi aset berharga dalam membentuk masa depan negara melalui Bajet 2024.

 

Keprihatinan Kerajaan Terhadap Rakyat

Bajet 2024 adalah saat penting dalam perjalanan Malaysia baharu. Ini bukan sekadar pelan kewangan; ia adalah cara untuk melihat sejauh mana kerajaan sebenarnya prihatin terhadap rakyatnya.

 

Walaupun kerajaan telah berjanji  untuk meningkatkan kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat dengan melaksanakan dasar gaji progresif, penting untuk diingatkan bahawa masih banyak rakyat Malaysia masih bergelut untuk membeli barang keperluan asas disebabkan kos sara hidup yang terus meningkat dan membelit mereka.

 

Ini adalah peluang bagi kerajaan untuk menunjukkan mereka mendengar keluhan rakyat dan memberi komitmen untuk menjadikan kehidupan lebih baik untuk semua melalui Bajet 2024.

 

Apa sahaja pelan, strategi, polisi, dasar yang bakal dibentangkan kali ini, ia akan memberi gambaran perjalanan negara pada masa hadapan.

 

 

irsyad

 

 

Secara keseluruhannya, Bajet 2024 akan menjadi dokumen penting yang membentangkan strategi dan keutamaan ekonomi kerajaan, dengan mengambil kira cabaran yang ditimbulkan oleh persekitaran ekonomi global.

 

Sebagai rakyat Malaysia, sudah pasti kita semua berharap Bajet 2024 akan membawa perubahan positif dan membawa kita ke masa hadapan yang lebih baik! - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
Portfolio Tags