KUALA LUMPUR 9 Feb - Selgate Healthcare Sdn Bhd. (Selgate) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama UTM Holdings Sdn Bhd (UTMH) dan Cypark Resources Bhd (Cypark) untuk membangunkan hospital pakar swasta baharu di Johor yang dijangka mula beroperasi pada 2026.
Hospital pakar itu akan dibangunkan di atas tanah seluas lima hektar di Skudai, berhampiran kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, kata Selgate dalam kenyataan hari ini.
Lokasi tersebut mempunyai populasi yang meningkat serta pembangunan di sekitar Skudai, Kulai dan Pulai yang merupakan lokasi strategik untuk memenuhi keperluan kawasan sekitar Bandaraya Iskandar Puteri.
Menurut syarikat itu, hospital yang meliputi 462, 128 kaki persegi itu akan memberi khidmat kepada pelbagai disiplin dengan kira-kira-kira 177 katil dengan kemudahan untuk pesakit dalam, pesakit luar dan ahli keluarga, kedai makan dan minuman serta tempat letak kereta.
"Hospital ini akan melengkapkan usaha UTM dalam bidang bioperubatan dan membolehkannya berada di barisan hadapan dan salah satu universiti awam terkemuka di Malaysia.
“Teknologi boleh diperbaharui dan cekap tenaga akan diguna pakai di hospital baharu ini, seiring dengan usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat," katanya.
Menerusi MoU itu, penerapan teknologi mampan akan membantu hospital menyediakan sumber tenaga yang selamat dan boleh dipercayai yang akan mengurangkan kos dan pelepasan karbon.
Dalam aspek ini, Cypark akan membawa kepakaran bernilai yang akan menandakan tahap pencapaian hospital mesra alam ini.
Perancangan, pembangunan dan operasi hospital pakar ini dijangka dilaksanakan dengan jayanya dan mampan dengan perjanjian antara tiga pihak ini.
Majlis menandatangani MoU itu yang diadakan hari ini dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Selgate, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth; Ketua Pegawai Eksekutif Cypark, Datuk Daud Ahmad dan Pegawai Eksekutif UTMH, Ahmad Kamil Kushairi. – DagangNews.com








