OPR terus meningkat, golongan pendapatan rendah makin sukar beli rumah - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OPR terus meningkat, golongan pendapatan rendah makin sukar beli rumah - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Nov - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) empat kali secara berturut-turut sepanjang tahun ini telah menjejaskan keupayaan pembeli rumah terutamanya dalam kalangan berpendapatan rendah dengan ketara.

 

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng menganggarkan kenaikan sebanyak 100 mata asas itu menjadikan bayaran bulanan meningkat 13% (bagi rumah berharga RM500,000 dengan jumlah pembiayaan selama 30 tahun). 

 

Katanya, ia telah menjejaskan sektor hartanah dengan negatif kerana pembeli sukar mendapatkan pembiayaan perumahan. 

 

"Peningkatan ini agak ketara pada pandangan kami dan ia dijangka memberi kesan negatif terhadap permintaan hartanah kerana sesetengah pembeli yang berpendapatan rendah mungkin tidak layak mendapat pinjaman perumahan.

 

"Secara ringkasnya, kami menjangkakan normalisasi kadar faedah akan mengheret permintaan terhadap hartanah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada 3 November lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar tersebut sebanyak 25 mata asas buat kali keempat tahun ini menjadikannya kepada 2.75%. 

 

Secara keseluruhan, bank pusat telah menaikkan kadar penanda aras pinjaman dan simpanan itu sebanyak 100 mata asas pada 2022 daripada paras terendah, 1.75% sebelum itu.

 

Menurut Jze Tieng, berdasarkan data BNM bagi September 2022, jumlah permohonan pembiayaan bagi pembelian hartanah susut 11.3% bulan ke bulan kepada RM47.3 bilion selepas ia meningkat 4.5% bulan ke bulan pada Ogos. 

 

"Penurunan ini mungkin disebabkan permintaan yang lemah terhadap sektor hartanah berikutan kenaikan OPR pada 8 September lalu (kenaikan kali ketiga). 

 

"Sejajar dengan permohonan yang lebih rendah ini juga menyaksikan jumlah pembiayaan diluluskan juga susut 11.6% bulan ke bulan kepada RM20.7 bilion selepas meningkat sedikit pada bulan sebelumnya," jelasnya. 

 

Mengambil kira semua faktor tersebut, beliau mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah, memandangkan data terkini pembiayaan perumahan dilihat kurang memberangsangkan.

 

"Selain itu, kami melihat prospek permohonan pinjaman yang lebih lemah pada masa akan datang berikutan beberapa kenaikan OPR yang akan menjejaskan minat pembeli rumah," katanya. - DagangNews.com