Masyarakat Islam perlu mencintai Nabi SAW pada tingkatan yang paling atas | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 7 October 2022

Masyarakat Islam perlu mencintai Nabi SAW pada tingkatan yang paling atas

 

 

Rabiulawal adalah bulan kelahiran Nabi SAW yang merupakan insan yang mulia dan membawa rahmat ke suluruh alam.

 

Lazimnya, sambutan maulidurrasul diadakan bagi menghayati antaranya akhlak, sirah, perjuangan dan pengorbanan Nabi SAW.

 

Masyarakat Islam perlu mencintai Nabi SAW pada tingkatan yang paling atas melebihi daripada diri sendiri dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan sahabat.

 

Terdapat pelbagai kaedah dalam menzahirkan dan membuktikan kecintaan kepada Nabi SAW yang boleh dilakukan, antaranya ialah mempertahankan Nabi SAW dari dihina dan dipermainkan.


 

irsyad

 


Sejarah penghinaan terhadap Nabi SAW telah bermula sejak zaman hayat Nabi SAW ketika menyebarkan dakwah. Jelas melalui ‘ibrah’ dan ‘sabab nuzul’ dalam surah al-Lahab dan surah al-Kautsar menjadi bukti bahawa yang melindungi Nabi SAW adalah Allah SWT.

 

Perbuatan biadab dan tidak bertanggungjawab oleh individu tertentu menghina Nabi SAW telah dilaporkan berlaku sama ada dalam bentuk ungkapan, penulisan, lukisan dan sebagainya.

 

Pada tahun 2008, pengarang The Jewel of Medina, Sherry Jones dari Amerika telah menghina Nabi SAW dan memfitnah Aisyah RA melalui penulisan novel. Selain itu, terdapat juga sebuah filem yang bertajuk ‘innocence of Muslim’ yang telah ditayangkan mengandungi unsur penghinaan terhadap Nabi SAW.

 

Seterusnya, pada tahun 2016 berlaku pemecatan Ahmed al-Zind berusia 70 tahun, daripada jawatan Menteri Kehakiman Mesir kerana mengeluarkan kenyataan berbaur persendaan kepada Nabi SAW dengan memenjarakan individu yang didapati bersalah tidak terkecuali Nabi SAW.

 

Istilah mencela, mengolok-olok, mencaci-maki ataupun merendahkan Nabi SAW dalam bahasa Arab disebut ‘sabba al-rasul’ atau ‘syatama al-rasul’.

 

Menurut Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya ‘al-Sharim al-Maslul ‘ala Syatimi al-Rasul’ menjelaskan penghinaan Nabi SAW berlaku dengan ungkapan lafaz yang bertujuan untuk menyalahkan, merendahkan martabat, melaknat, menjelek-jelekkan, menuduh tidak adil, meremehkan serta mengolok-olok.

 

Seterusnya, Qadhi Iyadh juga menjelaskan bentuk penghinaan terhadap Nabi SAW ialah individu yang mencela, mencari-cari kesalahan, menganggap pada diri Nabi SAW ada kekurangan, mencela nasab (keturunan) dan perlaksanaan agamanya, menjelek-jelekkan salah satu sifatnya yang mulia, menentang atau menyamakan beliau dengan orang lain dengan niat untuk mencela, menghina, mengecilkan, menjelek-jelek dan mencari-cari kesalahannya.


 

irsyad

 


Imam al-Syaukani turut membincangkan hukum ke atas individu yang menghina Nabi SAW dalam Kitab Nayl al-Autar melalui bab yang berjudul ‘membunuh orang yang menghina Nabi SAW dengan kata-kata yang nyata’ dengan mengemukakan hadis-hadis berkaitan.

 

Sewajarnya, masyarakat Islam bersatu bangkit mempertahankan Nabi SAW dengan pelbagai cara seperti menghantar surat bantahan, laporan kepada pihak berkuasa, atau sesuatu yang difikirkan sesuai.

 

Terdapat pelbagai dalil pengharaman perbutan menghina dan mencerca Nabi SAW seperti yang terdapat dalam al-Quran dan hadis.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Taubah: 61)

 

Seterusnya, hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Seorang lelaki buta mempunyai Ummu Walad yang menghina Nabi SAW dan ia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya namun ia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut.

 

Ibn Abbas meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi SAW, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkanya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah.


 

irsyad

 


Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, lalu baginda SAW mengumpul orang ramai dan bersabda: “Aku bersumpah kepada Allah SWT atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (perbuatannya)”. Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW.

 

Dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku adalah suaminya akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehingga meninggal. Nabi SAW bersabda : “Ketahuilah bahawa darah wanita adalah sia-sia (halal).” (Riwayat Abu Daud: no.4361)

 

Demikianlah, kenyataan dan ketegasan hadis dan al-Quran dalam mempertahankan Nabi SAW daripada dihina oleh individu yang biadab dan tidak bertanggungjawab. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap individu berkenaan supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags