Keuntungan Hektar REIT meningkat lebih 800% pada suku ketiga kepada RM13.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Hektar REIT meningkat lebih 800% pada suku ketiga kepada RM13.5 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Nov - Hektar Real Estate Investment Trust (REIT) mencatatkan pendapatan sebanyak RM31.07 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 62.4% berbanding RM19.13 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tempoh itu, pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat 77.2% kepada RM18.31 juta daripada RM10.34 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Ini menjadikan keuntungan selepas cukai sebanyak RM13.5 juta, meningkat 861.8% berbanding RM1.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan yang lebih tinggi pada suku tersebut didorong terutamanya oleh pemulihan sektor peruncitan dan pembukaan semula sempadan untuk aktiviti ekonomi berbanding tahun lalu di mana sokongan sewaan yang lebih tinggi diberikan kepada penyewa kerana perniagaan terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

 

Sementara itu, margin NPI yang semakin baik sebanyak RM8 juta dan pendapatan lebih tinggi mendorong kepada peningkatan NPI dan keuntungan pada suku berkenaan. 

 

Ia turut menyaksikan pembalikan kerugian rosot nilai penghutang perdagangan sebanyak RM2.56 juta pada 2022. Bagi 2021, kerugian rosot nilai bersih berjumlah RM2.7 juta telah disediakan.

 

Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022, pendapatannya meningkat 25% kepada RM89.55 juta daripada RM71.62 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan NPI meningkat 40.4% kepada RM48.64 juta daripada RM34.64 juta.

 

Keuntungan selepas cukai bagi tempoh itu turut meningkat 256% kepada RM33.82 juta, tempoh sama tahun sebelumnya sebanyak RM9.5 juta.

 

Hextar REIT berkata, wabak COVID-19 telah mengubah landskap industri runcit secara menyeluruh, menghadapi beberapa cabaran termasuk kenaikan harga barang keperluan, gaji minimum dan kadar faedah, yang kesemuanya mungkin menjejaskan pemulihan.

 

"Oleh itu, kumpulan terus mengekalkan pandangan berhati-hati untuk suku akan datang dengan mengambil kira perspektif ekonomi global dan akan memantau dengan berhati-hati dan kekal fokus untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pembeli, penyewa, pekerja dan komuniti di semua aset hartanahnya.

 

"Walaupun terdapat kebimbangan, kumpulan kekal positif dan berdaya tahan dalam mencapai pertumbuhan disokong oleh peningkatan kadar penghunian untuk hartanah di bawah portfolio," katanya. - DagangNews.com