Bajet 2023: Jangan sekadar jadi Bajet “Kosong” | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 5 October 2022

Bajet 2023: Jangan sekadar jadi Bajet “Kosong”

 

 

BAJET 2023 Jumaat ini pasti ditunggu-tunggu oleh rakyat. 

 

Bajet 2023 akan menggariskan tiga matlamat utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Ekonomi dan Ketahanan Ekonomi yang sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diharap mampu untuk membantu proses pemulihan ekonomi negara di samping menyantuni kelangsungan hidup rakyat.

 

Apa yang lebih merisaukan jika Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat ini dan berlaku pembubaran parlimen.

 

Jika Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat ini tidak diluluskan oleh Parlimen, bajet ini tiada maknanya, ia ibarat bajet “kosong” sahaja.

 

Selagi Bajet 2023 tidak diluluskan, ia bukan belanjawan, maka diperlukan untuk pembentangan semula.

 

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 seelok-eloknya diluluskan terlebih dulu sebelum pembubaran Parlimen dilakukan.

Bajet2023

Adakah ini strategi?

Jika kerajaan hari ini menganggap pembentangan Bajet 2023 sebagai strategi politik, ia mungkin bukan seperti yang diharapkan. Kerajaan perlu memikirkan nasib negara dan rakyat yang akan mendapat manfaat daripada Bajet 2023 ini.

 

Adalah lebih baik jika Bajet 2023 ini dibentangkan dan diluluskan, barulah bubarkan parlimen. Ini adalah lebih baik  supaya apa yang dirangka dan dirancang oleh kerajaan demi kepentingan negara dan rakyat dapat dilaksanakan.

 

Takwim Parlimen

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menjelaskan, Rang Undang-Undang (RUU)  Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat ini perlu dibentangkan semula di Parlimen jika belum diluluskan kerana PRU ke-15.

 

Mengikut takwim mesyuarat Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 dikeluarkan Parlimen, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 sepatutnya melalui proses kelulusan peringkat dasar pada 2 November 2022 iaitu sebaik selesai sesi menggulung oleh menteri Kabinet.

 

Rang Undang-Undang (RUU) itu kemudian perlu dibawa ke peringkat jawatankuasa dengan proses yang  di jadual akan disempurnakan sepenuhnya pada 23 November 2022 sebelum persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan usul-usul lain oleh kerajaan.

 

Adakah kerajaan boleh menunggu sehingga selesai Bajet 2023 ini mendapat kelulusan Parlimen baru bubar Parlimen?


 

volatiliti

 


Bajet 2023 sepatutnya bukan “milik” parti politik

Apa yang patut berlaku, pembentukan Bajet ini bukan “dimiliki” oleh parti politik. Siapa pun parti politik yang menjadi kerajaan, bajet ini boleh dilaksanakan demi untuk negara dan rakyat.

 

Ini kerana yang menyediakan bajet  negara ialah Kementerian Kewangan melalui sebuah jabatan khusus. Maka sepatutnya tidak timbul siapa jadi kerajaan dan bajet perlu bertukar mengikut “selera” kerajaan.

 

Kerajaan baharu tidak cukup masa

Jika berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum Bajet 2023 diluluskan, kerajaan baharu pastinya tidak mempunyai masa yang banyak untuk mengubah keseluruhan draf Bajet 2023 yang telah dikemukakan ke Parlimen.

 

Kerajaan baharu perlu “mengikut” apa yang telah dirancang dalam Bajet 2023 untuk dilaksanakan demi negara dan rakyat. Apa yang rakyat mahukan ialah nasib mereka dibela tak kiralah kerajaan sedia ada atau kerajaan baharu.


 

volatiliti

 


Malaysia politik yang stabil

Jika Bajet 2023 dibentangkan, kemudian pembubaran Parlimen dan PRU dijalankan dan memerlukan pembentangan bajet semula oleh kerajaan baharu ia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan.

 

Kenapa?

 

Mengikut sejarahnya, Malaysia mempunyai kestabilan politik yang stabil.  Walaupun parti baharu yang memerintah, rakyat Malaysia masih lagi menghormati demokrasi. Tidaklah sampai membuat huru-hara kerana tidak suka parti baharu itu memerintah.

 

Malaysia bukan seperti negara lain yang mana rakyat boleh membuat huru-hara dan rusuhan kepada Kerajaan baharu jika mereka tidak suka sesebuah parti itu menjadi Kerajaan.

 

Sentimen kepada pelabur

Secara asasnya pembentangan Bajet 2023, pembubaran Parlimen dan PRU tidak akan memberi kesan yang begitu serius kepada ekonomi. Ini kerana tindakan ekonomi ini adalah lebih bersifat makro. Namun begitu, secara tidak langsung ia memberi kesan dan sentimen kepada pelabur.

 

Kebiasaannya, pasaran saham akan bertindak balas dengan pembentangan Bajet, pembubaran Parlimen dan PRU.  Tindak balas ini adalah tindak balas jangka masa pendek sahaja dan ia masih tetap akan stabil dan kukuh.


 

volatiliti

 


Dijangka bajet hampir RM400 bilion

Jika bajet 2022 yang lalu sudah dianggap bajet yang terbesar dalam sejarah apabila memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion dan Bajet 2023 dijangka mencecah RM400 bilion. Dengan matlamat Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Ekonomi dan Ketahanan Ekonomi dilihat bajet ini adalah “munasabah” jumlahnya.

 

Kerajaan perlu merangsang pertumbuhan ekonomi dengan baik dengan memberi tumpuan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan ekonomi negara dan pemangkin pembaharuan bagi membolehkan kesemua peruntukan Bajet 2023 diagihkan dan dilaksanakan dengan baik sekali gus membantu meningkatkan hasil kerajaan.

 

Adakah kerajaan kita mampu?

Cabaran buat negara dalam memastikan keberkesanan kutipan hasil dalam keadaan ekonomi yang masih dalam proses pemulihan.

 

Keadaan ruang fiskal yang “sempit” ini membuatkan kerajaan untuk tidak boleh bergantung kepada hasil cukai semata-mata tetapi beralih kepada hasil sumber bukan cukai di samping meningkatkan statutori bagi memastikan pakej bantuan dan rangsangan Bajet 2023 dapat dilaksanakan dengan baik.

 

Kerajaan perlu melakukan reformasi dan pengukuhan fiskal segera bagi membina semula benteng ketahanan fiskal negara dalam menghadapi cabaran ekonomi tahun 2023 dan ke hadapan.


 

parafrasa

 


Tengku Zafrul kekal bentang bajet

Bajet 2023 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Inilah yang menjadi kebiasaannya setiap tahun di mana bajet dibentangkan oleh Menteri Kewangan.

 

Hal ini menafikan spekulasi yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan membentangkan Bajet 2023 di Parlimen Jumaat ini.

 

Semoga pembentangan Tengku Zafrul Jumaat ini akan memberi “khabar gembira” buat semua lapisan tidak kira industri, sektor, perniagaan mahupun rakyat. Mari kita sama-sama tunggu Jumaat ini! – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags