Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Yinson Holdings Bhd merancang untuk menubuhkan program nota jangka sederhana Islam bernilai sehingga RM1 bilion untuk modal kerja serta pembiayaan semula pinjaman sedia ada.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pihaknya telah mengajukan permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk program Sukuk Wakalah berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.
Ia berkata, permohonan kepada SC itu dibuat menurut garis panduan yang dikeluarkan suruhanjaya itu mengenai Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Permulaan dan Pelancaran.
"Program Sukuk Wakalah distrukturkan berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar dan telah diberi penarafan A+IS dan A1 masing-masing oleh Malaysian Rating Corporation Bhd dan RAM Rating Services Bhd,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yinson berkata, penerbitan pertama akan dibuat dalam masa 60 hari bekerja dari tarikh penyerahan permohonan.
Tambahnya, program itu memenuhi keperluan penerbitan Sukuk Wakalah berperingkat dengan fleksibiliti untuk Yinson untuk menerbitkan Sukuk Wakalah berkaitan kemampanan selain Sukuk Hijau/Sosial/Mampan/SRI Asean.
Sementara itu, Malaysian Rating Corporation (MARC) telah memberikan penarafan awal A+IS kepada program MTN Islam RM1 bilion yang dicadangkan oleh Yinson dengan prospek yang stabil.
Jelasnya, ia berikutan penarafan kredit korporat A+ yang MARC berikan kepada Yinson pada 23 Jun 2021.
"Penarafan pada program IMTN ini didorong oleh profil perniagaan Yinson yang kukuh dalam segmen kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO), kontrak FPSO jangka panjang yang besar dan margin keuntungan yang sihat.
"Kami melihat sejak pemulihan harga minyak pada suku kedua 2020, prospek untuk industri minyak dan gas lebih kuat daripada yang terjadi dalam beberapa tahun terakhir dan akan mendukung pertumbuhan di segmen FPSO," katanya. -DagangNews.com








