Yinson raih lanjutan kontrak FPSO Adoon bernilai RM15.03 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson raih lanjutan kontrak FPSO Adoon bernilai RM15.03 juta

KUALA LUMPUR 19 Dis - Yinson Holdings Bhd. memperoleh satu lagi lanjutan kontrak bernilai RM15.03 juta bagi penyewaan kemudahan terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Adoon, yang ditempatkan di medan Antan, luar Nigeria.

 

Unit tidak langsung Yinson, Adoon Pte Ltd dan Addax Petroleum Development (Nigeria) Ltd telah memeterai perjanjian pada 16 Disember 2022 bagi melanjutkan kontrak itu sehingga 16 Januari 2023.

 

"Kecuali lanjutan tempoh perkhidmatan, terma di bawah lanjutan kontrak ini kekal tidak berubah," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Addax ialah anak syarikat China Petroleum & Chemical Corp (Sinopec).

 

Pada Oktober lalu, Yinson mengumumkan bahawa ia menerima lanjutan kontrak untuk Adoon FPSO sebanyak RM16.04 juta. Kontrak itu dilanjutkan dari 17 Oktober hingga 16 November 2022.

 

Yinson menjangkakan kontrak tersebut tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan struktur pemegangan utama saham syarikat.

 

"Bagaimanapun, ia dijangka memberi impak positif kepada hasil dan aset bersih sesaham Yinson," katanya. - DagangNews.com