KUALA LUMPUR 12 Jan - Yinson Production, cabang perniagaan pengeluaran luar pesisir Yinson Holdings Bhd. telah berjaya menyelesaikan kontrak 16 tahun untuk FPSO Adoon, yang beroperasi di Blok OML 123 luar pesisir Nigeria.
Kontrak itu mempunyai tempoh asal selama lapan tahun sehingga 2014 dengan pilihan untuk dilanjutkan lapan tahun lagi sehingga 2022.
Kontrak itu dilanjutkan lagi oleh pelanggan, Addax Petroleum Development (Nigeria) Limited melalui lanjutan bulanan berturut-turut sehingga Januari 2023.
Addax melaksanakan pilihan kontraknya untuk membeli FPSO Adoon pada penghujung tempoh kontrak dan penjualan telah selesai pada 11 Januari 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif pengeluaran luar pesisir Yinson, Flemming Grønnegaard berkata, pihaknya berbangga apabila mengetahui FPSO Adoon telah dapat menyumbang dengan ketara kepada landskap tenaga Nigeria sejak 16 tahun lalu, memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan dan kesejahteraan masyarakat.
"Ini menjadi kenyataan oleh pasukan kami yang bersemangat di Port Harcourt, dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pelanggan kami, Addax, badan kawal selia di Nigeria dan komuniti tempatan serta rantaian bekalan.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam kisah kejayaan FPSO Adoon," katanya dalam kenyataan hari ini.
FPSO Adoon telah dibina oleh syarikat sebelumnya, Fred. Olsen Production ASA, untuk Addax dan mula beroperasi pada Oktober 2006.
Sejak dimulakan, aset tersebut telah menyediakan operasi yang selamat dan boleh dipercayai kepada pelanggan dengan purata masa operasi teknikal melebihi 99.9% dan tiada Kecederaan Masa Hilang (LTI) selama 11 tahun lalu.
Ia telah mengeluarkan lebih 212 juta tong minyak, dan mencatatkan lebih daripada 6 juta jam kerja luar pesisir sepanjang tempoh kontraknya. - DagangNews.com








