Xsolla perluas perniagaan permainan video ke Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Xsolla perluas perniagaan permainan video ke Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jan - Sebuah syarikat perdagangan permainan video global terkemuka, Xsolla meraikan pembukaan pejabat baharu di Kuala Lumpur, sekali gus menjadi pejabat Xsolla terbesar di luar ibu pejabat Los Angeles, Amerika Syarikat.

 

Peluasan ini membantu Xsolla menawarkan senarai produk inovatifnya yang semakin meningkat kepada lebih banyak syarikat permainan di seluruh dunia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan Xsolla ke Malaysia dan keyakinan mereka terhadap ekosistem kandungan digital adalah sokongan membara terhadap keupayaan dan kapasiti Malaysia. 

 

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk memudahkan pengembangan dan pertumbuhan rakan kongsi utama dalam memanfaatkan negara sebagai hab ke darat dan berkembang ke rantau ASEAN yang lebih luas.

 

"Dengan adanya inisiatif strategik nasional baharu, Malaysia Digital (MD), kami yakin Malaysia akan terus menjadi hab digital pilihan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Presiden Xsolla, Chris Hewish berkata, mereka membuat kemajuan besar di seluruh dunia untuk membantu rakan kongsi memasarkan dan menjual permainan mereka di lebih 200 wilayah.

 

"Sebagai sebuah syarikat global, pembukaan pejabat ini akan meneruskan misi kami untuk membantu rakan kongsi permainan kami mencapai kejayaan yang lebih besar dalam pasaran yang sentiasa berkembang ini," katanya.

 

 

xsolla
                                                                  Chris Hewish

 

 

Pengarah Urusan Xsolla Malaysia, Ilya Mamontov pula berkata, pihaknya telah mengiktiraf kepentingan pertumbuhan dalam industri permainan dan rantau ini. 

 

Katanya, dengan menubuhkan entiti tempatan di Kuala Lumpur, mereka akan mengembangkan rangkaian untuk membantu pembangun menyediakan akses eksklusif kepada pemain dan kaedah pembayaran pilihan untuk membeli permainan kegemaran mereka.

 

 

xsolla

 

 

"Oleh kerana pengembangan wilayah kami, kami akan menambah bakat baharu kepada pasukan pembangunan Xsolla di sini di Kuala Lumpur untuk menyokong usaha tempatan dan pasukan global," katanya.

 

Peluasan ke Kuala Lumpur adalah sejajar dengan peningkatan bilangan pemain dan syarikat permainan mudah alih di Asia, membolehkan Xsolla menyediakan produk selaras dengan keperluan pasaran dan membantu rakan kongsi terlibat secara langsung dengan pengguna. - DagangNews.com