Widad dapat projek bina lebuh raya di Kelantan bernilai RM244 juta | DagangNews Skip to main content

Widad dapat projek bina lebuh raya di Kelantan bernilai RM244 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Widad Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Widad Builders Sdn. Bhd (WBSB) telah meraih tender daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 23 September lalu bagi pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai di Kelantan.

 

Menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia, tender itu nilai RM244.3 juta yang melibatkan tempoh kontrak selama 36 bulan bermula 27 Disember 2021 hingga 26 Disember 2024.

 

“Projek ini dijangka dibiayai menerusi dana dalaman dan/atau pinjaman luaran. 

 

“Projek ini tidak akan mendatangkan impak ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham oleh pemegang saham besar Widad. 

 

“Namun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih Widad serta anak syarikatnya sepanjang tempoh projek itu,” jelas kumpulan.

 

WBSB secara dasarnya terlibat dalam pembinaan dan aktiviti pengurusan kemudahan bersepadu.

 

Kumpulan tidak melihat projek itu akan mendatangkan sebarang risiko besar selain daripada ketidaktentuan pandemik COVID-19.

 

Sekitar Ogos tahun ini, Widad menerusi anak syarikat yang sama juga telah meraih kontrak bernilai RM53.2 juta daripada JKR bagi pembinaan sebuah sekolah baharu dan lain-lain kemudahan yang terletak di Bukit Mahkota, Bangi, Selangor. 

 

Baca : Widad dapat kontrak RM53 juta, bina sekolah baharu di Bukit Mahkota, Selangor

 

Setakat 5 petang, harga saham Widad ditutup tidak berubah pada kadar 38.5 sen sesaham. - DagangNews.com