Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Vizione Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Vizione Builder Sdn. Bhd. (VBSB) bakal membangunkan sebuah bangunan hotel empat bintang di Langkawi, Kedah.
Ini selepas VBSB menerima surat tawaran kontrak bagi pembinaan tersebut daripada Inspirasi Langkawi Sdn. Bhd. (ILSB) yang bernilai RM116.05 juta, hari ini.
Menurut makluman Vizione di Bursa Malaysia, jumlah kontrak itu merupakan harga yang tetap, dan tidak tertakluk kepada sebarang pengubahsuaian ekoran turun naik dalam kos upah dan / atau emolumen serta perbelanjaan apa-apa jenis hutang kepada pekerja dan / atau turun naik dalam kos bahan dan barang, duti import atau cukai lain.
“Vizione berbesar hati apabila meraih kontrak ini yang akan mengembangkan pesanan buku kumpulan dan dijangka menyediakan aliran hasil stabil kepada kumpulan dalam tempoh tiga tahun kewangan akan datang,” jelas kumpulan.
“Tempoh siap projek berkenaan adalah selama 24 bulan bermula 1 September 2021 hingga 31 Ogos 2023, termasuk pengujian dan pentauliahan perkhidmatan mekanikal dan kejuruteraan (M&E) yang perlu.
Kontrak itu bakal menyaksikan Vizione membina sebuah hotel dengan 14 tingkat, terdiri daripada 238 unit bilik hotel, enam apartmen, lima unit pejabat dan tiga unit kedai di Bandar Padang Mat Sirat, Langkawi.
Dalam pada itu, projek berkenaan juga dijangka tidak mendatangkan sebarang impak ke atas modal saham diterbitkan dan berbayar serta pegangan saham oleh pemegang saham besar kumpulan.
Kontrak ini juga dijangka tidak mendatangkan sebarang impak material utama ke atas aset bersih dan penggearan kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir 30 November 2021. - DagangNews.com








