KUALA LUMPUR 14 Nov - CGS-CIMB Research menyemak naik harga sasaran Velesto Energy Bhd. kepada 17 sen daripada 11.5 sen sesaham sebelum ini berikutan prospek kumpulan yang lebih cerah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24.
Malah, ia turut mengekalkan saranan 'tambah' terhadap syarikat penyedia perkhidmatan penggerudian luar pesisir itu.
Menurut firma itu, Velesto sebelum itu memberi panduan ia mempunyai banyak kontrak yang perlu dilunaskan pada 2023, yang boleh membantunya mencapai kadar penggunaan minimum jack-up pada 70% atau 80%.
Katanya, kadar penggunaan itu boleh dicapai jika semua hari yang ada telah diisi atau jika ia memilih untuk menangguhkan naik taraf 'offline' pada 2023 untuk sama ada Naga 3 atau Naga 4 bagi meraih manfaat daripada permintaan yang kukuh untuk perkhidmatan penggerudian.
"Oleh itu, kami menaikkan unjuran penggunaan jack-up untuk FY23-FY24 daripada 70% kepada 80% dan andaian jangka panjang kami daripada 70% kepada 75% untuk FY25 dan seterusnya.
"Pada masa sama, kami turut menyemak naik unjuran kadar sewaan harian (DCR), manakala Velesto menandatangani kontrak dengan Petronas bagi lima daripada enam pelantar jack-up (Naga 2, Naga 3, Naga 4, Naga 5 dan Naga 6) antara awal 2022 dan 2024 pada kadar sekitar AS$72,000 sehari, kadar terkini pasaran di Asia Tenggara dalam julat antara AS$80,000 hingga AS$100,000 dan Velesto meminta Petronas untuk semakan kenaikan.
"Kami menjangkakan peningkatan kepada AS$75,000 sehari untuk pelantar dengan keupayaan bukan 'offline' bagi ramalan FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 7 November lalu, anak syarikat milik penuhnya, Velesto Drilling Sdn. Bhd. memperoleh kontrak bernilai AS$135 juta daripada Hess Exploration And Production Malaysia B.V.
Kontrak itu membabitkan penyediaan perkhidmatan pelantar, penggerudian dan penyiapan bersepadu (I-RDC) bagi pembangunan penuh lapangan Lembangan Melayu Utara 2022 hingga 2024, di luar pesisir Terengganu.
Ia juga untuk menyediakan perkhidmatan I-RDC meliputi 14 telaga dengan jangkaan tarikh bermula pada suku keempat 2022.
Menurut CGS-CIMB, Velesto akan menggunakan pelantar Naga 5 untuk menjalankan kerja-kerja bahagian penggerudian, yang dijangka bertahan selama setahun setengah dari akhir Oktober 2022 hingga lewat April 2024.
Firma itu berkata, kontrak tersebut adalah penting kepada Velesto memandangkan ia adalah kontrak jangka panjang pertama sejak Naga 8 memperoleh kontrak Carigali-Hess selama tiga tahun pada 2019.
"Kerja-kerja penggerudian akan dibayar dengan DCR kira-kira AS$84,000 sehari, lebih tinggi daripada purata sebanyak AS$74,000 sehari pada separuh pertama 2022 kerana Naga 5 dinaiktaraf kepada keupayaan 'offline' pada Jun 2022 dan kenaikan harga minyak global memberi kelebihan kepada DCR serta peningkatan aktiviti penggerudian luar pesisir oleh syarikat minyak global termasuk Petronas.
"Kontrak ini juga adalah yang pertama bagi Velesto untuk memainkan peranannya sebagai pengurus projek bagi menguruskan kontraktor lain, di samping perkhidmatan penggerudiannya untuk 14 telaga," jelasnya.
Ia menganggarkan, daripada keseluruhan kontran I-RDC itu, sebanyak AS$46 juta adalah bagi kerja-kerja pelantar jack-up manakala pengurusan projek bernilai AS$89 juta.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB menganggarkan kerugian teras sesaham bagi FY22 mengecil sebanyak 20% berikutan kadar penggunaaan pelantar dan purata DCR yang lebih tinggi.
"Pendapatan sesaham (EPS) teras bagi FY23 dan FY24 pula diunjur lebih tinggi dengan masing-masing sebanyak 116% dan 122%," katanya.
Setakat 2.44 petang ini, harga saham Velesto menokok 0.5% atau 3.7% kepada 14 sen dengan 6.91 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








