KUALA LUMPUR 3 Ogos - Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) kekal optimis dengan prospek Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) berikutan kedudukannya yang kukuh dalam ruang semikonduktor dan tenaga huluan.
Tambahan pula, semalam ia menyaksikan anak syarikatnya, Ping Petroleum UK PLC memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Cerulean Winds Limited untuk memulakan inisiatif kerjasama bagi menyediakan turbin angin terapung luar pesisir khusus untuk Pembangunan Avalon di Laut Utara Tengah, United Kingdom (UK).
Susulan pengumuman itu, HLIB berkata, Ping dan Cerulean Winds merancang untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi melaksanakan dan mengendalikan turbin angin terapung, yang akan menjana tenaga untuk kapal Punggahan dan Simpanan Pengeluaran Terapung (FPSO) Sevan Hummingbird yang diperoleh Ping pada awal Julai lalu daripada Teekay Corporation.
"Oleh itu, kami memuji usaha DNeX dalam meneroka lebih banyak langkah mesra alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau melalui pengurangan penggunaan bahan api fosil.
"Pada masa sama, medan Avalon juga dijangka mengeluarkan hasil minyak yang pertama pada pertengahan 2025 daripada 2024 sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : DNex, Cerulean Winds bekerjasama kendali turbin angin terapung di UK
Ping yang merupakan anak syarikat milik 90% DNeX menyasarkan untuk menghubungkan FPSO kepada turbin angin luar pesisir terapung khusus bagi menggerakkan kemudahan itu sekali gus meminimumkan penggunaan diesel dan gas bahan api serta pelepasan gas rumah hijau yang berkaitan di perairan UK.
Projek inovatif dan perintis itu akan menjadi salah satu kemudahan pengeluaran minyak dan gas pertama yang memenuhi sasaran pengurangan pelepasan oleh Kerajaan UK seperti dipersetujui dalam Perjanjian Peralihan Laut Utara pada Mac 2021.
Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, Ping ketika ini sedang memperhalusi konsepnya untuk mengintegrasikan FPSO dengan turbin angin luar pesisir untuk Pembangunan Avalon, dengan kelulusan Pelan Pembangunan Lapangan dan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) disasarkan pada akhir tahun ini.
Berikutan perkembangan positif ini, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap DNeX dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.69 sesaham.
"Kami menyatakan bahawa pada tahap semasa, DNeX didagangkan pada gandaan penilaian hadapan yang murah iaitu masing-masing 11.5 kali dan 9.5 kali untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) hingga FY24 secara keseluruhannya, berdasarkan ramalan pendapatan konservatif kami.
"Walaupun kami perhatikan dengan panduan dan jangkaan kenaikan kadar selanjutnya daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada separuh kedua, kami percaya bahawa sektor teknologi mungkin menanggung beban ketidaktentuan dagangan dalam beberapa bulan akan datang," katanya.
Bagaimanapun, firma itu percaya DNeX kini didagangkan pada tahap yang tidak wajar memandangkan prospek pertumbuhannya yang cerah.
Setakat 12.09 tengah hari, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.26% kepada 80.5 sen dengan 17 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








