Usaha perkukuh kesalinghubungan ASEAN keutamaan TNB capai sasaran sifar bersih | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha perkukuh kesalinghubungan ASEAN keutamaan TNB capai sasaran sifar bersih

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melawat pameran di Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 Ogos 2023. Turut hadir adalah Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan), Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid (kanan kedua) dan Baharin Din (kiri)
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Usaha untuk memperkukuh kesalinghubungan negara ASEAN menjadi keutamaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam mencapai sasaran sifar bersih di rantau ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din.

 

Berucap di Persidangan Peralihan Tenaga 2023, beliau mendedahkan bahawa rakan serantaunya merangkumi PLN Indonesia, EGAT Thailand, EDL Laos dan SP Group Singapura, menzahirkan komitmen mereka untuk menjayakannya.

 

“Kesalinghubungan ini membolehkan biaya lebih baik untuk tenaga boleh diperbaharui (RE), memperkukuh keselamatan sistem dan membuka lebih AS$6.3 trilion pelaburan menjelang 2050 seperti dianggarkan oleh Agensi Antarabangsa Tenaga Boleh Baharu (IRENA).

 

“Kami semua bersetuju bahawa adalah tepat masanya untuk menjadikan Grid Tenaga ASEAN satu realiti kerana ini adalah soal kelangsungan kami juga,” katanya.

 

 

Datuk Baharin Din
Datuk Baharin Din

 

 

Mengambil iktibar daripada proses peralihan tenaga di rantau lain, Baharin berkata, teknologi sedia ada tidak perlu diganti sepenuhnya.

 

Tambahnya, sasaran nyahkarbon elektrik secara pantas melalui peralihan semasa, mewujudkan beberapa bentuk cabaran dari segi keselamatan dan ekonomi yang begitu kompleks jika dihadapi secara berasingan.

 

"Atas sebab inilah, tiada siapa mampu mencapai sasaran sifar bersih secara bersendirian, dan terdapat keperluan segera untuk bekerjasama bagi mengoptimumkan sumber kita sambil menyeimbangkan trilema ini,” ujar beliau.

 

Sebagai utiliti utama negara, TNB menyeimbangkan trilema tenaga sambil menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

 

Baharin menzahirkan keyakinan beliau terhadap perancangan TNB untuk mencapai tahap tersebut memandangkan kumpulan itu tertumpu sepenuhnya untuk menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

“Secara lebih khusus, kami memastikan bahawa grid kita cukup fleksibel untuk menampung landskap tenaga yang berubah, dengan rancangan pelaburan melebihi RM90 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang untuk menyokong NETR,” katanya.

 

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di persidangan itu berkata usaha secara kolektif boleh mendorong perubahan positif untuk masa depan lebih bersih dan mampan.

 

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

 

Beliau menambah bahawa Malaysia boleh memanfaatkan kekuatan secara kolektif untuk mempercepat penggunaan teknologi RE, pembangunan inovatif rumusan penyimpanan tenaga dan peningkatan amalan cekap tenaga.

 

“Kedudukan strategik Malaysia selaku Hab Tenaga ASEAN membolehkan kita berperanan penting dalam membangun masa depan tenaga mampan serantau menuju karbon sifar bersih ASEAN,” tambahnya.  - DagangNews.com