SERDANG 1 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal melaksanakan pemberian subsidi pembelian skuter elektrik (e-skuter) kepada mahasiswa sebagai inisiatif ke arah kelestarian dan mengurangkan pencemaran udara dalam kampus.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof Dr Hang Tuah Baharudin berkata, pihaknya menyasarkan pemberian subsidi berkenaan pada semester baharu Oktober 2023.
Beliau berkata, subsidi tersebut dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada mahasiswa, selain dapat mengurangkan penggunaan kenderaan di kawasan kampus.
Katanya, ia sebagai inisiatif pihak universiti untuk menggalakkan para pelajar menggunakan e-skuter, selain memudahkan pergerakan mereka ke kuliah.
"Selain itu, ia merupakan langkah penjimatan kerana kita tidak perlu lagi mengeluarkan kos untuk menyewa bas.
"Setakat ini kami sedang berbincang dengan beberapa syarikat untuk membawa masuk e-skuter pada harga berpatutan," katanya kepada pemberita.
Turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.
Terdahulu, UPM meraikan seramai 30 pengamal media termasuk editor pada Majlis Promosi UPM Bersama Media 2023 di L' Apprenti Cafe UPM di sini, semalam.
Sementara itu, Mohd Roslan berkata, UPM mengalakkan supaya mahasiswa menggunakan kenderaan elektrik seperti skuter elektrik, berbasikal atau apa juga inovasi yang membantu meningkatkan kemampanan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, UPM telah diiktiraf sebagai kampus paling lestari negara dan ke-25 dunia oleh Ui-GreenMetrik World Ranking Universities 2022.
"Komitmen UPM tentang kelestarian hijau termaktub dalam Matlamat 5 Pelan Strategi UPM 2021-2025 iaitu 'Memperteguh Tadbir Urus Institusi, Kemampanan Kewangan dan Amalan Kelestarian Hijau'," katanya.
Dalam pada itu, Subjek Pertanian dan Perhutanan UPM berada ditangga ke-74 dunia oleh badan penarafan QS World University Ranking by Subject 2023 yang telah diumumkan pada 22 Mac 2023. - DagangNews.com








