Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan keuntungan bersih teras FY22 IGB Commercial REIT berkembang 25% tahun ke tahun disokong oleh penghunian yang lebih baik dan pengembalian sewa yang positif.
Dalam nota kajiannya hari ini, HLIB Research memaklumkan ia memberikan penarafan Beli ke atas saham IGB Commercial REIT dengan harga sasaran sebanyak RM0.79 sesaham.
Menurutnya, hartanah IGB Commercial REIT terletak lebih strategik berbanding rakan setara, dan ia merupakan REIT pejabat kendiri terbesar, dengan aset nilai pasaran berjumlah RM3.2 bilion.
"Walaupun kami menjangkakan pengembalian sewa mendatar untuk FY21, kami optimistik kumpulan mampu mencatat prestasi yang lebih baik pada FY22.
"Ini didorong terutamanya oleh pengembalian sewa positif yang digabungkan dengan penghunian yang lebih baik, sejajar dengan momentum pemulihan ekonomi," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
IGB Commercial REIT telah disenaraikan pada 20 September 2021 dan merupakan REIT pejabat kendiri terbesar di Malaysia.
Ia terdiri daripada 10 hartanah, terletak secara strategik di kawasan bandaraya dan pinggir Kuala Lumpur dengan kadar penghunian tinggi yang stabil dan penyewa berkualiti.
Ia juga mempunyai sokongan kuat oleh penaja dan pengurusnya yang sangat berpengalaman.
"Kami mengunjurkan keuntungan bersih teras FY21 turun sedikit (-6%) tahun ke tahun berdasarkan jangkaan kos operasi hartanah yang lebih tinggi, dan sekatan Fasa 1 yang melambatkan penghunian.
"Untuk FY22, kami meramalkan keuntungan bersih teras akan berkembang sebanyak 25% tahun ke tahun disokong oleh penghunian yang lebih baik serta pengembalian sewa yang positif dalam portfolionya, sejajar dengan jangkaan pemulihan ekonomi," katanya. -DagangNews.com








